VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 19/07/2012

Ceria sambut puasa

Lembaga Zakat Selangor meluluskan pembinaan sebuah rumah baharu yang lengkap dengan tiga bilik serta disediakan kemudahan elektrik dan air kepada keluarga Samsul Nasrul.

DARAH orang Minang mengalir pekat dalam batang tubuhnya. Namun, daripada gaya percakapannya sudah tiada lagi loghat orang seberang. Masakan tidak, seawal usianya 16 tahun dia sudah merantau ke Malaysia.

Kini, setelah berlalu hampir 40 tahun bertatih hayat di bumi bertuah ini, dia merasa amat betah sekali dan bertuah menjadi warga Malaysia, serta bersyukur lantaran mampu mencicip pelbagai kenikmatan hidup sebagai rakyat yang disediakan di sini.

Lalu, pada kesempatan kali ini, menjelang Ramadan al-Mubarak, marilah sama-sama kita semak kisah kehidupan Samsul Nasrul, 52, yang mungkin boleh memberikan sedikit suntikan bermakna buat kita, insya-Allah.

“Alhamdulillah, Allah berikan pelbagai nikmat kepada saya setelah berhijrah ke Malaysia. Sungguhpun saya berasal dari Sumatera Barat saya dapat rasakan pelbagai nikmat apabila menjadi warga Malaysia. Di sini, peluang nampaknya terbuka luas untuk memajukan diri. Sebagai orang asli Minang, minat merantau dan menjadi pedagang memang sudah sebati dalam diri.

“Hakikatnya dahulu, saya memang seorang peniaga yang aktif. Hampir seluruh Semenanjung Malaysia ini sudah saya rentasi. Saya pernah berulang alik setiap minggu ke Kuala Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan banyak lagi. Semuanya kerana saya ini peraih buah-buahan. Saya beli terus dari kebun dan jual di pasar atau di pekan.

“Sungguhpun saya mengembara ke merata-rata tempat akhirnya Allah SWT temukan saya dengan orang Selangor juga, atau lebih tepatnya orang Kampung Changkat. Di situlah saya mendirikan rumah tangga dengan Zainun Alias Saleh, 42, dan dikurniakan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan. Namun, dek kerana usia saya mendirikan keluarga agak lewat iaitu 36 tahun sekarang ini anak saya yang paling tua baru sahaja berusia 14 tahun," kata Samsul.

Demikianlah perbualan kami berlangsung dan mengalir dengan mudah. Samsul nampaknya tidak lokek langsung untuk membuka kisah-kisah lama, kisah kesusahannya memulakan perniagaan, terpaksa menutup dan membuka perniagaan di tempat baru, berniaga di Chow Kit dan di pasar malam sehinggalah lori lima tan yang menjadi nadi perniagaannya tersadai dek kerana kerosakan.

“Namun, dalam semua jenis perniagaan, saya paling betah berniaga buah. Memang sebelum lori saya rosak saya adalah peniaga buah yang aktif. Bila lori itu tersadai, maka sukarlah bagi saya mencari rezeki.

“Saya cuba juga baiki lori berkenaan, tetapi kosnya agak mahal. Lalu, setelah ‘patah kaki’, saya cuba beralih angin dengan mengikut orang membaiki dan memasang paip air dengan upah harian RM50.

“Namun, pendapatan itu jauh daripada jangkaan. Dalam seminggu jika bernasib baik, dapatlah saya bekerja tiga hari dan ini bermakna pendapatan sebulan antara RM500 hingga RM600.

Biarpun dibelenggu kesempitan, dia bernasib baik kerana isterinya bekerja sampingan, jadi dapatlah dia membantu mana yang kurang.

“Pada tahun 2010, dalam keadaan agak sempit itulah saya disapa oleh salah seorang pegawai zakat di Taman Melawati. Kebetulan kala itu anak saya sama sekolah dengan anaknya dan beliau mencadangkan agar saya memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Manalah tahu, jika layak, maka saya akan dibantu.

“Hakikatnya, ia bertentangan dengan prinsip anak Minang seperti saya. Malu bagi saya untuk meminta-minta dan menyusahkan orang lain. namun demi kebaikan keluarga khususnya anak-anak, saya rela menggagahi juga diri memohon bantuan zakat," kata Samsul.

Pada 2010, bermulalah LZS memberikan pelbagai bantuan kepada Samsul Nasrul sekeluarga.

Menurut Samsul, antara bantuan yang pernah diperoleh mereka ialah; bantuan bulanan, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan persiapan Ramadan dan hari raya serta yang terkini, bantuan pembinaan rumah.

“Saya sebenarnya amat mengharapkan LZS membantu saya memiliki sebuah lori baru. Namun setakat ini masih belum berjaya.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana LZS telah meluluskan pembinaan sebuah rumah baharu yang lengkap dengan tiga bilik serta disediakan kemudahan elektrik dan air kepada saya.

“Bagi saya, inilah hadiah termahal buat keluarga sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan. Dapatlah kami merasa berhari raya di rumah sendiri selepas ini. Jika tidak, selama ini kami menumpang di rumah yang diberikan oleh ibu mertua berdekatan Bandar Sri Gombak," tambah Samsul.

Ditanya wawasan masa hadapannya, Samsul tetap berkeras dan berazam untuk segera meninggalkan status asnaf dan menjadi peniaga kembali. Justeru, beliau amat berharap dapat mencari tapak tetap yang sesuai untuk berniaga. Ini memandangkan, usianya juga sudah menakah angka 50-an, maka beliau sudah tidak mampu bergerak aktif seperti dahulu lagi.

“Walau apa pun, saya tetap tidak akan lupa betapa zakat banyak membantu saya. Jika dahulu, Ramadan dan hari raya kami sambut sederhana sahaja dengan bantuan zakat, misalnya pada kali ini berjumlah hampir RM1,000 ia amat memberi makna kepada saya seisi keluarga demi memeriahkan Ramadan dan hari raya yang bakal menjelma," tuntas Samsul menamatkan bicara.

l HAMIZUL ABDUL HAMID ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.