VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
AGROBIZ

ARKIB : 27/05/2013

Burung enggang terbesar dunia

Diet utama kenyalang atau enggang papan ialah buah-buahan hutan yang juga merupakan sumber air utama unggas itu selain memakan haiwan-haiwan kecil dan serangga.

SESEKALi ke Langkawi, pencinta alam semulajadi boleh menikmati keindahan 360 darjah gugusan pulau Langkawi dari dua puncak gunung, sama ada Gunung Mat Cincang dengan menaiki kereta kabel Langkawi ataupun memandu sendiri ke puncak Gunung Raya.

Sebenarnya, ada khazanah warisan alam yang amat bernilai di Gunung Raya iaitu kehadiran burung enggang terbesar dunia atau The Great Hornbill.

Bagaimanapun, ramai yang terlepas pandang khazanah yang memiliki nama saintifik (buceros bicornis) meskipun unggas itu berukuran 1.5 meter ketika melebarkan sayapnya.

Beratnya pula boleh mencecah sehingga empat kilogram yang menjadi punca burung itu tidak mampu berterbangan bebas seperti unggas lain.

Sebaliknya unggas tersebut akan melompat-lompat dari dahan ke dahan pokok yang paling tinggi sebelum terbang seakan-akan meluncur di udara sambil mengepakkan sayapnya.

Saiz unggas yang turut dikenali sebagai enggang papan atau rangkong itu juga adalah faktor kenapa kita mesti mempertahankan pokok-pokok berdiameter besar dari terus dikorbankan sebagai balak.

Ini kerana, secara semula jadi, haiwan terancam itu hanya dapat bersarang di dalam lubang pokok yang cukup besar untuk memuatkan ibu dan anak enggang selama kira-kira tiga bulan.

Di dalam lubang pokok itulah si ibu akan terkurung dalam sarang yang disimenkan lubangnya menggunakan najis, tanah dan air liur, meninggalkan hanya lubang kecil untuk pasangannya menghulurkan makanan.

Makanan utama unggas itu ialah buah-buahan liar yang juga sumber air penting tubuh mereka, diet mereka juga merangkumi haiwan mamalia, reptilia dan burung kecil serta serangga.

Di situ ibu enggang akan meluruhkan pelepahnya untuk mengeramkan telur bersendirian manakala pasangannya akan bekerja keras mencari makanan untuk mereka bertiga.

Ini bermakna jika pokok sarangnya ditebang, kedua-dua ibu dan anak akan mati terperangkap dan kelaparan, manakala bapanya juga akan menderita ekoran enggang bersifat monogomus atau pasangan seumur hidup.

Malah, seorang pemerhati burung Persatuan Pencinta Alam (MNS) cawangan Langkawi, Irshad Mobarak, pernah menyaksikan sendiri satu tragedi menyayat hati, apabila seekor kenyalang jantan berteriak panjang melihat sarang yang berisi pasangan dan anaknya tumbang dibalak.

Lebih memilukan, enggang itu sering dilihat kembali ke tempat kejadian selama beberapa tahun.

''Malangnya di Langkawi, kenyalang menghadapi ancaman kehilangan habitat ekoran penerokaan hutan secara haram, tarahan bukit serta kerakusan pembangunan tidak terkawal,

''Selain itu, spesies berkenaan juga diburu dan dibunuh secara haram oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab demi memenuhi keinginan makanan afrosidiak pelancong asing negara tertentu," keluh beliau.

Apa pun, jika anda teringin melihat kehebatan burung yang gagah ini, pastikan anda berada di Gunung Raya sebaik saja fajar menyingsing atau sebelum senja bagi menyaksikan sendiri kumpulan burung ini berterbangan di udara.

Anda juga boleh memerhati burung itu terbang melintasi antara dua hutan yang terdapat di Pantai Kok, Langkawi pada lewat petang sebelum terbenam matahari.

Pemerhati burung berpeluang melihat kesemua 10 spesies itu termasuk enggang hutan yang berstatus hampir pupus di dalam senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam (IUCN) hanya dapat ditemui di kompleks berkenaan.

Ini boleh dikira satu keajaiban memandangkan Malaysia sama sekali tidak diketahui memiliki enggang hutan sehinggalah dikenalpasti oleh penyelidik MNS dan disahkan sebagai spesies enggang ke-10 negara pada tahun 1998. - BERNAMA

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.