VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
AGROBIZ

ARKIB : 22/04/2013

Pengurus jadi penternak Lembu

Pekerja Agro Dairy Farm memindahkan susu segar yang dihasilkan lembu susu di ladang tersebut ke dalam tong untuk dihantar ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS).

TIGA tahun lepas, M. Jaganatham, bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat perkapalan bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, atas minat yang mendalam terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, Jaganatham, 45, mengambil keputusan meletak jawatan untuk mengusahakan ladang ternakan tenusu.

Juga atas dorongan dan galakan daripada isterinya, M. Letchumi, 40, Jaganatham membulatkan nekad dengan melabur RM1.0 juta sebagai modal permulaan membuka ladang ternakan seluas enam hektar dikenali Agro Dairyfarm Sdn Bhd di Kampung Baru Vinayagar, Gadek, Alor Gajah, Melaka.

Cabaran

Jaganatham, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata, sebanyak 50 ekor lembu jenis Friesian Thailand dibeli sebagai titik permulaan kepada perniagaan ternakan tenusu tersebut.

Pada peringkat awal, katanya, pelbagai masalah terpaksa ditempuh khususnya berkaitan pengurusan ladang, penjagaan lembu dan pengeluaran susu.

“Malah kami pernah mengalami kerugian akibat kematian lembu disebabkan jangkitan penyakit," katanya yang berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam industri perkapalan.

Beliau berkata, cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk memastikan pengeluaran susu mencapai tahap maksimum.

Seekor lembu tenusu miliknya hanya mampu menghasilkan lapan hingga sembilan liter susu sehari berbanding pengeluaran maksimum susu iaitu sekurang-kurangnya 15 liter bagi seekor lembu sehari.

Bagaimanapun ini bergantung kepada faktor seperti cuaca dan nutrisi makanan yang mencukupi untuk lembu, jelas Jaganatham.

“Kita tidak boleh mengawal cuaca tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan lembu yang diternak mendapat rumput yang cukup, ini kerana pengeluaran susu bergantung kepada pemakanan.

“Sekiranya lembu mendapat rumput yang mencukupi, ia akan membantu menghasilkan jumlah susu yang banyak," katanya dan menambah bahawa lembu tenusu memerlukan rumput segar dalam kuantiti yang banyak iaitu 10 peratus daripada berat badannya.

Contohnya, bagi lembu yang beratnya 400 kilogram memerlukan kira-kira 40 kg atau dua guni rumput untuk dimakan.

Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya kini menanam rumput di sekitar kawasan ladang. Dengan cara itu ternakannya sentiasa mendapat bekalan rumput mencukupi berbanding kaedah sebelum ini iaitu terpaksa keluar dari kawasan ladang untuk mencari dan memotong rumput untuk diberi kepada ternakannya .

Selain itu, Jagannatham berkata, kualiti susu turut menjadi faktor utama dalam memastikan pendapatan bulanan perniagaan tenusunya tidak terjejas.

Beliau berkata ternakan lembu juga terdedah kepada penyakit terutama Mastitis, yang dijangkiti kuman akibat pemerahan yang tidak betul dan tidak bersih.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha keras terutama dalam mendalami ilmu penternakan lembu tenusu dan pengurusan ladang daripada pelbagai pihak, beliau dan isteri boleh menarik nafas lega dengan kejayaan yang dinikmati sekarang.

Jaganatham berkata, ladangnya kini semakin berkembang sehingga meliputi kawasan seluas 11 hektar dengan 121 ekor lembu tenusu melibatkan keseluruhan aset semasa pada tahun lepas berjumlah RM1.5 juta berbanding RM1.3 juta pada 2010.

Beliau berkata pengeluaran susu ternakannya juga telah meningkat walaupun belum mencapai tahap pengeluaran maksimum.

“Kita belum mencapai tahap pengeluaran maksimum susu lembu. sekarang ini seekor lembu di sini mampu menghasilkan susu kira-kira 12.7 liter berbanding tempoh tiga tahun lepas," katanya yang juga pensyarah di Akademi Laut Malaysia (ALAM) Masjid Tanah di sini.

Susu yang dihasilkan daripada ladangnya kini berjumlah antara 550 hingga 570 liter sebulan. Susu berkenaan dibekalkan kepada Dutch Lady Malaysia pada harga antara RM2.20 dan RM2.30 seliter.

Beliau berkata pendapatan bulanannya juga dijangka meningkat dengan penerimaan peti simpanan sejuk susu berkapasiti 310 liter daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dengan adanya peti simpanan sejuk itu, susu yang dihasilkan dapat disimpan dengan lebih baik dan penghantaran susu ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS) yang terletak di Pengkalan, Alor Gajah dapat diminimumkan.

“Tanpa peti tersebut susu yang dihasilkan perlu dihantar ke pusat pengumpulan dua kali setiap hari iaitu pagi dan petang namun kaedah penyimpanan susu melalui peti penyejuk dapat menjimatkan kos penghantaran," katanya.

Bantuan peti simpanan sejuk susu yang dinikmati Jagannatham adalah sejajar objektif ETP dalam pembangunan kluster susu bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti susu negara. - BERNAMA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.