ARKIB : 25/06/2012
Teknologi lepas tuai untuk kualiti berterusan
USAHA atau aktiviti yang dilakukan untuk mengekalkan kualiti hasil dari peringkat ladang sehinggalah ke pada pengguna dikenali sebagai pengendalian lepas tuai.
Ia bertujuan memastikan produk yang akan dipasarkan menepati kehendak serta permintaan pengguna.
Menurut Timbalan Pengarah (Program Lepas Tuai), Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Pauziah Muda, aktiviti pengendalian lepas tuai amat penting bagi memastikan hasil di selenggara dengan baik.
"Selain hasil dapat disediakan mengikut kehendak dan spesifikasi pembeli, teknologi yang digunakan dalam aktiviti pengendalian lepas tuai juga dapat memanjangkan jangka hayat hasil.
"Melalui teknologi ini juga kita dapat mengurangkan kadar kehilangan dan kerosakan buah selepas dituai," ujarnya ketika ditemui di pejabat beliau di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Tambah Dr. Pauziah, antara teknologi yang berjaya dihasilkan oleh pihak MARDI dalam proses penambahbaikan pengendalian lepas tuai ialah teknologi prakondisi bagi varieti buah nanas N36, Josapine dan MD2 untuk pasaran eksport.
''Nanas kebiasaannya disimpan pada suhu optimum 10 darjah C dan bagi varieti komersial ia mampu bertahan selama tiga minggu (Josaphine dan MD2), dan lima minggu (N36).
''Penyimpanan di bawah suhu 10'C akan menyebabkan berlakunya kecederaan sejuk dingin seperti kelecuran, gagal masak secara normal dan memiliki jangka hayat simpanan yang pendek," ujarnya.
Justeru, penemuan satu teknik baru iaitu pra-kondisi dengan memanipulasi suhu simpanan membolehkan nanas disimpan dengan jangka hayat dua kali ganda lebih lama.
Seterusnya teknologi muatan campuran buah-buahan campuran seperti belimbing, nanas dan limau bali yang mana ia kini membolehkan produk tersebut dieksport melalui kapal laut ke luar negara.
Teknik tersebut telah dibangunkan oleh MARDI untuk memenuhi permintaan pasaran kecil yang melebihi satu jenis komoditi untuk satu penghantaran.
Ia juga boleh digunakan bagi menghantar beberapa jenis buah-buahan untuk pasaran baru, semasa musim pengeluaran yang sedikit atau di luar musim.
Kombinasi jenis buah untuk muatan campuran tersebut dipilih berasaskan toleransi buah terhadap jenis simpanan seperti pada suhu sejuk, kelembapan bandingan, tahap sensitif terhadap gas etilena dan keadaan atmosfera.
Buah-buahan yang dipilih perlu disediakan mengikut teknik pengendalian lepas tuai yang telah disarankan, dibungkus dalam bungkusan yang sesuai kemudian dilakukan pra-penyejukan pada suhu yang disarankan.
Kemudian buah-buah tersebut akan dimasukkan ke dalam kontena sejuk yang telah ditetapkan pada suhu optimum yang mana boleh disesuaikan oleh ke semua buah yang terlibat dalam penghantaran ke luar negara.
Seterusnya teknologi pemprosesan minimum buah-buahan (nanas, Josapine, MD2, nangka dan juga durian untuk dieksport ke luar negara.
Pemprosesan minimum buah-buahan adalah merupakan produk hirisan segar dalam bentuk sedia untuk dimakan segar.
Produk pemprosesan minimum tersebut mudah untuk dikendalikan dan ia masih mengekalkan ciri-ciri asal buah iaitu kesegaran, rasa, bau warna dan nilai nutrien.
Namun, kebiasaannya produk sebegitu tidak dapat bertahan lama kerana perubahan yang berlaku ketika proses penyediaan produk tersebut seperti pembuangan kulit dan pemotongan.
Bagaimanapun MARDI berjaya menemui cara terbaik untuk mengekalkan kualiti produk tersebut.
Terakhir adalah teknologi belimbing golden untuk pasaran luar negara seperti Eropah.
Belimbing merupakan antara komoditi buah eksport yang terpenting negara di mana nilai eksportnya dianggarkan mencecah RM28 juta.
Di samping itu, pasaran bagi buah tersebut masih stabil sejak tahun 2000 dan lebih 60 peratus daripada eksport ke luar negara adalah ke pasaran Eropah.
Buah yang dieksport kebiasaannya masih berwarna hijau yang mana kegunaannya terhad untuk dijadikan jus mahu pun salad.
Keadaan tersebut menjadikan eksport buah belimbing tidak berkembang namun satu langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan pasarannya.
Ideanya adalah untuk mengeksport buah belimbing yang lebih matang atau golden starfruit bagi tujuan dimakan segar.
Teknik pemilihan buah belimbing yang lebih matang bagi tujuan tersebut adalah merupakan teknologi yang dikembangkan oleh MARDI dan dijangka eksport 'golden starfruit' dapat dipertingkatkan ke pasaran baru.
Penambahbaikan kualiti produk menerusi teknologi yang dicipta dilihat mampu meletakan nama negara setanding dengan pemain utama produk buah-buahan di pasaran global.
Malah, pengenalan Skim Amalan Ladang Malaysia (SALM) dalam sektor perladangan dilihat merupakan satu pengiktirafan yang bagus bagi menghargai peladang-peladang yang mengamalkan amalan ladang baik (GAP).
Selain itu, negara juga dapat memperluaskan pasaran baru bagi permintaan buah-buahan segar sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara.
Penambahbaikan dalam teknologi lepas tuai terutamanya dalam proses memanjangkan jangka hayat simpanan buah-buahan segar akan meningkatkan pasaran eksport ke negara yang lebih jauh malah ia juga lebih ekonomik melalui kapal laut.
Peningkatan permintaan buah-buahan segar tropika dari dalam dan luar negara lihat mampu mewujudkan minat orang perseorangan mahupun pihak swasta untuk membangunkan sektor industri hortikultur.
Ia sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan sekali gus menjana pendapatan tinggi bagi negara.
Mengurus makanan ternakan
Penyakit ternakan kambing
Kehebatan MTG
Melahirkan usahawan ternak
NBOS3 fasa 2 untuk veteran ATM
Makan daging kambing
Mesin pengisar daging
Hasilkan rayon daripada kenaf
Petik kopi lebih mudah
Sate ikan tilapia
Impian jutawan pelatih iGROW
Usahawan burung baji
Burung enggang terbesar dunia
Bahan sisa sawit untuk hasilkan gas
Kajian kelestarian sawit
Jihad ekonomi
Ayam hibrid
Latihan kemahiran pertanian
Ternakan ayam tertutup
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










