SONGKHLA 26 Jan. - Kerajaan Thailand akan mempercepatkan pembangunan di sempadan negara itu demi menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong dari Malaysia mahupun Thailand.
Gabenor Songkhla, Dondej Phatnarat berkata pihaknya sedang merancang beberapa alternatif bagi menyediakan kemudahan di pintu sempadan mereka berikutan jumlah pelancong Malaysia yang berkunjung ke Songkhla.
“Jumlah pengunjung Malaysia yang masuk ke Songkhla ramai terutama semasa musim cuti berikutan terdapat banyak tempat yang menarik boleh dikunjungi termasuk mencuba makanan yang sedap di sini.
“Sebab itu kita ingin percepatkan kemajuan di sempadan Thailand kerana mahu seiring dengan kemajuan Malaysia,” katanya sewaktu menerima kunjungan anggota Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di pejabatnya di Songkhla City Hall, baru-baru ini.
Turut hadir Presiden KMEK, Mohd Rafie Azimi, Presiden Persatuan Wartawan 14 Wilayah Thailand, Chaiyong Maneerungsakul, Presiden Persatuan Wartawan Yala, Karim Raman Siriwong dan beberapa anggota jawatankuasa kelab berkenaan.