Mogok doktor: 'Berlaku adil kepada mereka' - Utusan Malaysia

Mogok doktor: ‘Berlaku adil kepada mereka’

DR. NG KIM FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Doktor-Doktor Johor (PDDJ) berharap kerajaan dapat menyelesaikan kemelut yang timbul berhubung isu sekumpulan doktor berstatus kontrak dengan memberikan mereka perjawatan tetap ekoran hasrat golongan itu yang mahu melancarkan mogok di seluruh negara.

Presiden PDDJ, Dr. Ng Kim Fong berkata, tindakan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kumpulan doktor muda terbabit tetapi kepada sektor kesihatan awam di negara ini secara keseluruhannya.

Jelasnya, dengan memberikan perjawatan tetap kepada golongan terbabit, ia secara tidak langsung melahirkan lebih ramai doktor pakar di tanah air.

“Saya percaya sekumpulan doktor itu tidak akan melakukan mogok, mereka pasti akan melakukan kerja seperti biasa kerana karier sebagai doktor akan tetap dilakukan tanpa mengira keadaan.

“Namun dalam masa sama, saya berharap kita dapat berlaku adil kepada mereka dengan memberikan jawatan tetap, bukan lagi berstatus kontrak.

“Ini kerana perkara itu dilihat tidak adil buat mereka. Kerana ia bukan jawatan tetap maka mereka tidak boleh mengambil pendidikan dalam usaha menjadi doktor pakar di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menasihatkan kumpulan doktor berstatus kontrak yang berhasrat melancarkan mogok serentak di seluruh negara pada 26 Julai ini agar bersabar.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa isu tersebut kepada Kabinet dengan beberapa kertas kerja mengenai nasib mereka sedang disediakan kementeriannya.

“Saya memohon pegawai perubatan kontrak tersebut supaya bersabar dan bertenang kerana Kabinet akan memutuskan isu ini dalam masa terdekat,” kata Dr. Adham.

Sementara itu, Dr. Kim Fong memberitahu, tindakan memberikan perjawatan tetap itu juga perlu dibuat secara adil dan saksama tanpa melihat kepada latar belakang seseorang individu berkenaan.

“Ini kerana seorang doktor akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada setiap pesakit di depan mereka tanpa mengira warna kulit, perbezaan agama dan ideologi politik mereka.

“Perjawatan tetap itu juga perlu melibatkan petugas kesihatan di semua peringkat, bukan sahaja doktor tetapi juga jururawat, ahli farmasi serta doktor pergigian,” jelasnya.

Utusan Malaysia pada 28 Jun lalu melaporkan sekumpulan doktor lantikan secara kontrak gred UD41 mewakili 23,077 pegawai perubatan berkenaan memberi kata dua kepada kerajaan.

Mereka mengancam untuk melakukan mogok jika isu mengenai penempatan tetap masih lagi tidak diselesaikan sehingga menafikan hak faedah tertentu dan peluang melanjutkan pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.