Ziyad Zolkefli

Penyertaan Ziyad dan Abdul Latif Romly telah mencipta sejarah baharu apabila menjadi atlet paralimpik pertama menyertai Sukan SEA sejak temasya itu dipertandingkan di Bangkok 1959 yang ketika itu dikenali sebagai Sukan SEAP.

“Alhamdullilah... saya bersyukur selepas terpilih mewakili negara untuk Sukan SEA bersama atlet normal tetapi untuk mencari kepuasan sendiri, saya tetap mahu mencapai merit ditetapkan.

“Sebelum Sukan SEA, saya ada dua kejohanan yang akan disertai iaitu Terbuka Thailand pada 11-15 Jun ini dan Kejohanan Dunia di London pada 28 Jun ini.

“Dalam dua kejohanan itu, saya mahu membuat catatan sekurang-kurangnya 17.05 meter iaitu merit yang ditetapkan. Saya akan terus berlatih dengan lebih gigih dan memberikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Latif berkata, impiannya untuk bersaing bersama atlet normal dalam kejohanan Sukan SEA akhirnya tercapai dan pastinya dia mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.

Malah atlet kelahiran Perlis itu masih tidak percaya bahawa dia terpilih untuk mewakili negara dalam KL2017 untuk kategori atlet normal.

“Sehingga sekarang saya masih tidak percaya terpilih mewakili negara, bersaing dengan atlet normal. Penghargaan ini meniup semangat saya untuk terus berusaha keras dan mencipta sejarah baharu menjadi atlet paralimpik pertama meraih pingat dalam Sukan SEA nanti,” katanya.

Untuk rekod Latif meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio de Jeneiro dengan catatan 7.60 meter dalam acara lompat jauh manakala Ziyad merangkul pingat emas acara lontar peluru dengan catatan 16.84 meter.