Penerjun elit kebangsaan yang mewakili Wilayah Persekutuan (WP) itu mengumpul 289.55 mata untuk mengetepikan cabaran dua atlet tuan rumah, Kimberly Bong (235.95) dan Eilisha Rania (215.70) yang terpaksa berpuas hati meraih perak serta gangsa.

Turun sebagai pilihan untuk merangkul kejuaraan, Zhiayi, 19, mengakui, kecederaan yang dialami membuatkan dia sedikit tertekan untuk mempertahankan emas yang dimenanginya di Sukma Perlis, dua tahun lalu.

Katanya, kesakitan jari ta­ngan kirinya itu agak mengganggu tumpuan dalam setiap terjunan, malah mengakui kurang berpuas hati dengan pres­tasinya walaupun berjaya memenangi pingat emas.

“Saya turun dengan misi mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu dan saya berjaya mengekalkannya walaupun secara secara jujur, saya kurang selesa untuk me­lakukan rutin terjunan disebabkan jari bengkak.

“Kecederaan itu dialami ketika sesi latihan semalam dan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kutipan mata yang diperoleh dalam setiap terjunan kerana saya mampu melakukan lebih baik. Apa pun saya tetap gembira dengan kejayaan ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki, pasangan Sarawak, Slyvester Peter Jawa dan Carlysle Chan Wee chiek meraih emas kedua mereka dalam Sukma 2016 selepas memenangi saingan platform seirama lelaki semalam.

Pasangan tuan rumah yang juga atlet pelapis negara dinobat selaku juara selepas mengumpul 352.92 mata keseluruhan, diikuti penerjun Sabah, Jellson Jabillin-Gabriel Gilbert Daim (285.30) dengan pingat perak. Gangsa dibawa pulang oleh gandingan dari Selangor, Ikhlas Ahmad Sharol Lail-Farez Izzudin Shuhaimi menerusi 284.70 mata.