Itulah pandangan ikhlas pemenang pingat emas acara terjun 3 meter papan anjal individu wanita Loh Zhia Yi dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2016, di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Penerjun kebangsaan itu yang lebih mesra dengan panggilan Joey meraih emas selepas mengumpulkan mata keseluruhan 265.10 mata. Wakil Perak, Jasmine Lai Pui Yee (248.80) menduduki tempat kedua manakala gangsa milik atlet Selangor, Adeline Chin Wei Ling (203.85).

Mengulas mengenai prestasi penerjun kelahiran Sabah, Kimberly Bong, atlet berusia 19 tahun itu menyifatkan masa depan penerjun itu amat cerah dan mampu menyinar pada masa akan datang sekiranya dilatih dengan baik.

“Mungkin Kimberly akan lebih hebat daripada Lela (Pendelela) jika dia diberi latihan yang sistematik dalam beberapa tahun akan datang kerana saya lihat dia mempunyai potensi yang tinggi.

“Apa pun Kimberly sendiri juga harus berusaha keras untuk mencapai tahap tersebut dan saya percaya dia mampu menjadi permata baharu dalam skuad terjun negara,” katanya yang berjaya meraih dua emas dalam Sukma kali ke-18 ini.

Dalam pada itu, Joey menegaskan dia tidak dapat membuat persiapan rapi sebelum ke Sarawak disebabkan berhadapan dengan masalah tempat latihan dan berehat panjang menyababkan prestasinya sedikit merudum.

“Saya kurang berpuas hati dengan prestasi hari ini dan mungkin kurang latihan menyebabkan prestasi saya kurang memberangsangkan. Sehari sebelum ke sini (Sukma) muka saya mengalami sedikit kecederaan di mana sebelah kiri muka bengkak sedikit ketika menjalani latihan platform 10 meter akibat kesilapan semasa melakukan terjunan.

“Selepas ini saya akan kembali menjalani latihan bersama skuad negara untuk persiapan kejuaraan di Tokyo, Jepun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE