Mereka berdua bakal dicabar ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, Sazali Samad (bina badan) dan Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) dengan pemenang akan diumumkan dalam majlis penyampaian anugerah pada 18 Mac depan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan menyampaikan anugerah kepada pemenang.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, yang mengumumkan senarai akhir calon itu berkata, penyenaraian nama Zaqhwan sebagai salah seorang calon membuktikan mereka tidak pernah mengehadkan pencapaian atlet sukan lain yang mungkin boleh dikategorikan sebagai bukan sukan teras di negara ini.

“Kami sentiasa bersikap terbuka terhadap kemajuan atlet-atlet kita tanpa mengehadkan pemilihan hanya kepada sukan teras sahaja dan penanda arasnya mestilah sekurang-kurangnya pencapaian di peringkat Asia.

“Di pihak SAM sendiri, pemilihan Zaqhwan sebagai calon akhir adalah sesuatu yang menarik kerana di luar sukan tradisi dan kami melihat pencapaiannya selaku juara termuda sesuatu yang membanggakan.

“Penyenaraian Chee Wei juga mengejutkan ramai pihak namun kami lihat faktor penyertaannya yang pertama kali di Sukan Asia dan berjaya memenangi pingat emas membuatkan jawatankuasa pemilihan memilih namanya selaku antara lima atlet terbaik,” katanya.