Malaysia kali terakhir meraih pingat emas 100m wanita Sukan SEA adalah pada 1997 di Jakarta, Indonesia menerusi G. Shanti.

Zaidatul Husniah berkata, tumpuan utamanya kini adalah Sukan SEA 2017 terutama selepas memperbaharui rekod kebangsaan 100m wanita awal Mac lalu.

“Buat masa ini saya rasa masih belum cukup pantas lagi dan masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum Sukan SEA 2017 bermula.

“Latihan di Afrika Selatan amat berbeza kerana dapat meningkatkan prestasi saya dan selepas ini saya perlu lebih fokus kepada latihan di dalam negara pula,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Atlet tersebut pulang dari Afrika Selatan selepas dua bulan menjalani latihan di negara itu.

Zaidatul Husniah mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan 11.45 saat dalam Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 9 Mac lalu.

Catatan atlet berusia 24 tahun itu melebur rekod lama 11.50s milik Shanti yang dilakukan dalam kejohanan Pra Sukan SEA 1993.

Sementara itu, Zaidatul Husniah berkata, dia tidak mahu terlalu melonjakkan prestasinya dalam masa terdekat kerana mahu memastikan dia mencapai kemuncak prestasi ketika Sukan SEA nanti.

“Selepas ini saya akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada hujung bulan ini dan kita lihat apa yang akan diraih nanti.

“Pulang sebagai pemegang rekod 100m wanita membuatkan saya mahu melakukan yang terbaik bukan sahaja dalam Sukan SEA tetapi juga dalam kejohanan lain seperti Sukan Asia dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE