Penerjun dari Selangor itu mengumpul 422.85 mata keseluruhan daripada enam terjunan manakala pingat perak dan gangsa menjadi milik penerjun Sarawak, Slyvester Peter Jawa yang mengumpul 358.80 mata dan Carlyse Chan Wee Cheik (353.50).

Atlet berusia 21 tahun itu, yang telah membuat penampilan kali kelima dalam Sukma, mengakui terjunan terakhirnya kurang baik namun tetap gembira berjaya meraih emas.

“Selepas terjunan kelima saya lihat jurang mata dengan tempat kedua telah jauh jadi untuk terjunan keenam saya telah melakukan sedikit kesilapan disebabkan terlalu yakin.

“Apapun saya gembira kerana berjaya meraih pingat emas untuk Selangor dan berharap emas kedua dapat diperoleh dalam acara kedua saya iaitu paltform individu,” katanya.

Sementara itu, dalam acara platform 10 meter wanita seirama, Sarawak berjaya merangkul pingat emas menerusi Eilisha Rania dan Ap Abrial Raja Gopal Francis dengan mengumpul 238.50 mata keseluruhan selepas melakukan empat terjunan.

Pingat perak diraih pasangan dari Sabah, Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali dengan mengumpul 219.18 mata keseluruhan manakala gangsa milik pasangan Selangor, Lim Min dan Nur Alya Jazmina Khairul Azhar (206.85). - UTUSANONLINE