Dia juga mencipta sejarah muncul penjaga gol pertama merangkul gela­ran itu sejak Mohd. Syamsuri Mustafa pada 2006.

Khairul Azhan yang baru menyambut ulang tahun ke-25 pada 7 November lalu turut menewaskan penyandang gelaran, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dan Izham Tarmizi Roslan (JDT) bagi memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik 2014.

Kejayaan pemain yang turut terkenal dengan panggilan Yan itu diiringi oleh rakan sepasukannya, Razman Roslan yang menggondol anugerah Pemain Pertahanan Terbaik, manakala pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan dijulang selaku Ketua Jurulatih Terbaik.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pula dinobat sebagai Persatuan Bola Sepak Terbaik sekali gus menyaksikan Pahang menyapu lima daripada 12 kategori yang dipertandingkan.

Khairul Azhan mengakui, dia masih sukar mempercayai kejayaan yang diraih hari ini kerana baru dua tahun bersama Tok Gajah.

Pemain yang berasal dari Kampung Batu Tiga, Kuantan itu memberi penghargaan kepada Dollah Salleh sebagai individu yang bertanggungjawab menaikkan ka­riernya.

“Terkejut..memang tidak sangka boleh menang anugerah ini, bukan sekadar satu tetapi dua.

“Bagi saya ini satu pengiktirafan buat penjaga gol di negara ini ke­rana selalunya gelaran pemain paling bernilai milik penyerang atau pertahanan.

“Namun, orang yang saya mahu ucapkan terima kasih adalah Dollah Salleh, yang membimbing Pahang musim lalu kerana dia memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi walaupun pada masa itu saya baru bersama skuad dan kurang pengalaman.

“Saya harap mampu kekal konsisten selepas ini dan misi pada masa akan datang adalah mahu menjadi penjaga gol nombor satu kebangsaan, jadi saya kena kerja keras pada masa sekarang, ” katanya ketika ditemui, semalam.

Segalanya tampak terlalu pantas buat Khairul Azhan kerana dia langsung tidak dikenali pada permulaan tahun lalu selepas beraksi dengan Shahzan Muda selama tiga musim.

Disenarai sebagai penjaga gol ketiga di belakang Mohd. Nasril Nourdin dan Rosfaizul Azuar Ali, dia berjaya mencuri perhatian selepas kecederaan dan kemerosotan prestasi yang dialami kedua-dua penjaga gol berkenaan.

Khairul Azhan mempamer ­prestasi cemerlang dan kekal sebagai penjaga gol nombor satu Pahang sehingga musim ini, malah turut dipanggil di dalam skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2014.

Pada majlis berkenaan, barisan skuad Sukan Asia 1974 yang memenangi pingat gangsa turut diraikan dengan pemberian Anugerah Lagenda Harimau Malaya.

Pemain Pa­ling Bernilai musim lalu, Mohd. Badhri Radhzi, mengekalkan gelaran Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua berturut-turut de­ngan mengetepikan dua calon lain, Hafiz Kamal (Pahang) dan Shukor Adan(Felda).

Sementara itu, pemain Kedah yang digelar ‘Messi Malaysia’, Mohd. Farhan Roslan, menewaskan Mohd. Nazmi Faiz (Selangor) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Kelantan) untuk anugerah Pemain Muda Harapan.