Katanya, dia menzahirkan keyakinan tersebut setelah melihat sendiri kualiti dan keupayaan yang ada pada kesemua 12 atlet wushu negara menjelang temasya dwi-tahunan itu.

“Wushu kini dalam keadaan yang sangat baik, semangat mereka kini berkobar-kobar. Kami semua sudah bersiap, hanya tunggu pertandingan sahaja.

“Dua bulan sebelum ini, ada di antara atlet kita cedera, tetapi mereka sekarang sudah pulih 90 peratus. Tiada masalah.

“Jadi, saya yakin kesemua atlet kita akan berjaya memenangi pingat tidak kira warna apa kerana mereka dalam keadaan sangat baik. Saya lihat mereka layak untuk menaiki podium nanti,” kata Ro Bin yang juga pemenang emas ketika mewakili negara di Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur.

Skuad wushu bakal berentap merebut 17 pingat yang ditawarkan bermula 20 hingga 22 Ogos, dengan misi kali ini adalah untuk menebus kekecewaan dalam Sukan SEA 2015 Singapura apabila sekadar membawa pulang dua emas.

Dalam masa sama, Ro Bin turut mengakui dua atlet senior Diana Bong Siong Lin dan Loh Jack Chang banyak membantu dalam menyuntik motivasi dan keyakinan barisan junior demi mengharumkan nama negara.