Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keyakinan bahawa sukan itu akan menghadirkan pingat sulung Malaysia adalah bersandarkan kepada waktu pertandingan yang disertai atlet negara berbanding sukan lain.

Sandaran wusyu untuk membawa pulang pingat diletakkan di bahu dua atlet se­nior, Wong Weng Son dan Yap Wai Kin yang akan bersaing dalam acara changquan lelaki dalam.

“Acara berkenaan akan berlangsung awal pagi dan jika me­raih pingat maka ia akan menjadi pingat pertama buat kontinjen negara berbanding sukan lain yang tamat lewat.

“Kita juga yakin dengan kemampuan atlet wusyu untuk menghadiahkan pingat dalam acara yang mereka sertai kali ini,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Perdana Putra, sini, hari ini.

Acara changquan dijadual berlangsung pada 19 Ogos ini dengan saingan akhir pada pukul 9 pagi waktu tempatan, sekali gus menjadi final paling awal bermula berbanding enam sukan lain pada hari yang sama.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, beliau optimis kontinjen negara mampu meraih tujuh pingat emas seperti yang disasarkan, malah berupaya menamatkan kempen dalam kelompok 10 terbaik kedudukan pingat keseluruhan.

“Sekiranya atlet kita berada di tahap yang amat baik maka tidak mustahil kita mampu meraih lebih daripada apa yang disasarkan.

“Untuk berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan maka pingat emas adalah antara tujuh, lapan, sembilan atau mungkin boleh mencapai 10 hingga 11,” katanya lagi.