Berslogankan 'Wow! Kita Hebat', sebanyak 11,000 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara bakal bertanding dalam 26 jenis sukan merangkumi 369 acara yang dipertandingkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penganjuran Sukma XIX Perak 2018 yang berbaki 235 hari lagi, bakal melakar satu sejarah kerana bakal diraikan di seluruh pelosok negeri ini dengan segenap rakyat dapat merasainya.

"Selepas 24 tahun berlalu, Perak bakal menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas menganjurkannya untuk edisi kelima pada tahun 1994.

"Penganjuran sukan dua tahun sekali ini dilihat mampu memupuk semangat integrasi nasional bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi juga rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran tersebut yang berlangsung meriah di Bulatan Amanjaya di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan;  Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pada majlis tersebut, Zambry turut melancarkan laman rasmi Facebook, Instagram dan Twitter Sukma XIX Perak 2018.

Dalam pada itu, Zambry berharap dengan sokongan semua pihak, Perak dapat muncul sebagai penganjur terbaik Sukma selain menjadi juara keseluruhan dalam edisi kali ini.

Zambry turut berharap Sukma XIX Perak 2018 yang bakal dibantu oleh 3,000 sukarelawan anak Perak, dapat muncul sebagai yang paling tular di laman sosial. - UTUSAN ONLINE