Wendy dalam pertandingan di Pusat Akuatik Maria Lenk di sini pada mulanya membuat tiga terjunan yang konsisten sebelum melakukan kesilapan dalam terjunan keempat yang hanya me­ngutip 40.50 mata.

Dalam terjunan ke enam, dia berjaya meraih 66.00 mata, namun kebangkitan itu sudah terlewat dan dia terpaksa berpuas hati dengan markah keseluruhan 306.60.

“Saya benar-benar tidak tahu apa yang berlaku hari ini (semalam). Memang saya agak gementar.

“Dalam terjunan keempat, saya rasa sudah membuat yang terbaik tetapi ada kesilapan yang membuatkan saya tidak mendapat mata yang baik yang akhirnya menjejaskan mata keseluruhan.

“Memang kecewa sebab saya menjalani latihan sejak sekian lama namun akhirnya kecewa kerana gagal membuat yang terbaik pada hari pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, Wendy memeritahu, kejayaan memasuki peringkat akhir sebenarnya sudah melepasi sasaran asal iaitu memasuki pusingan separuh akhir.

“Walupun tidak berjaya mencapai kedudukan yang lebih baik, saya tetap bersyukur mampu mencapai tahap ini,” katanya.

Penerjun itu layak ke peringkat akhir selepas menempatkan diri dalam senarai 18 terbaik dalam pusingan penyingkiran apabila mengumpul 299.05 mata untuk berada pada kedudukan ke-17.

Seorang lagi wakil negara yang juga pemenang pingat perak dalam acara 10m platform seirama bersama Pandelela Rinong iaitu Cheong Jun Hoong hanya menduduki tempat ke-21.

Dalam aksi separuh akhir, semalam Wendy menduduki tangga keenam bersama penerjun Amerika Syarikat (AS) dengan 324.75 mata untuk layak ke peringkat final bersama 12 penerjun lain. 
– UTUSAN