Perenang yang mewakili negeri Sarawak itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1:48.50 saat (s) mengatasi rekod kebangsaan 1:47.67s yang dicipta olehnya sebelum ini di kejohanan yang sama pada tahun lepas.

Pingat perak bagi acara tersebut menjadi milik rakan sepasukan, Daniel William Henry Bego dengan catatan masa 1:53.61s mengatasi perenang dari Selangor Yeap Zheng Yang dengan catatan masa 1:53.82s.

Welson berkata, beliau gembira dengan kejayaan ini kerana ia adalah satu petanda positif bagi dirinya untuk menghadapi saingan sebenar temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.

“Saya puas hati dengan kejayaan hari ini namun tidak meletakkan diri dalam zon selesa dan akan terus berlatih dengan bersungguh-sungguh sehingga hari perlawanan nanti,” katanya.

Katanya beliau turut gembira apabila rakan sepasukannya Daniel Bego turut bangkit hari ini selepas baru pulih sepenuhnya dari kecederaan sebelum ini.

“Saya gembira dengan kebangkitan ‘Bego’ (Daniel William Henry Bego) dan berharap beliau mampu bangkit kembali,” katanya.

Sementara itu perenang muda dari Selangor , Asmalia Filzati Redzuan , 18, memasang impian buat kali pertama mewakili negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

“Saya harap akan terpilih untuk mewakili negara dan akan melakukan persembahan yang terbaik nanti,” katanya.

Asmalia kini berada dalam skuad pelapis negara berkata adalah menjadi impiannya sejak dahulu untuk mewakili negara walaupun masih dianggap sebagai junior. – BERNAMA