Pemain berusia 32 tahun dari Switzerland, Wawrinka kecundang kepada pemain Rusia itu 6-4, 3-6, 6-4, 6-1 di Centre Court dalam pusingan pertama hari ini.

Wawrinka, yang masih belum mendapat rentak permainan terbaiknya selepas bergelut dengan masalah lutut, berkata walaupun sudah pulih namun kesakitan masih dirasainya sejak mengalami kecederaan itu pada tahun lalu.

“Saya tidak merasa apa yang ingin saya rasakan.

“Hari ini saya bermain menentang pemain yang bersemangat dan dia juga beraksi dengan baik serta laju.

“Bagi saya ini adalah perlawanan yang hebat dan saya tewas dalam aksi sengit ini,” kata Wawrinka.

Dalam pada itu, juara bertahan dari Britain, Andy Murray memulakan kempennya dengan menewaskan Alexander Bublik dari Kazakhstan 6-1, 6-4, 6-2.

Pemain nombor satu dunia itu seterusnya akan menentang Dustin Brown dari Jerman dalam pusingan seterusnya.

Bekas pemain No. 1 dunia, Victoria Azarenka pula menutup segala keraguan ke atas penampilan semulanya selepas melahirkan anak apabila menang ke atas pemain muda dari Amerika Syarikat, Catherine Bellis 3-6, 6-2, 6-1.

Bermain dalam grand slam pertamanya sejak Terbuka Perancis 2016, Azarenka yang melahirkan Leo pada Disember lalu dilihat bermula perlahan dalam perlawanan tersebut sehinggakan ketinggalan 4-0 dalam set pertama sebelum bangkit dan memenangi perlawanan tersebut.

“Ini adalah saat yang amat indah buat saya dan atmosfera di sini amat menarik terutama apabila melihat ramai penyokong mengalu-alukan penampilan semula saya,” katanya.

Azarenka seterusnya akan menentang pemain pilihan ke-15 kejohanan, Elena Vesnina dari Rusia yang juga lawannya ketika aksi separuh akhir kejohanan sama tahun lepas. – REUTERS