Watson, 40, dikenali sebagai ‘Flying Dayak’ diistiharkan muflis tahun lalu selepas gagal melunaskan pinjaman tersebut, manakala bapanya yang menderita barah telinga telah meninggal dunia dua tahun lalu.

Jabatan Insolvensi Malaysia mengisytiharkan status Watson sebagai muflis selepas dia gagal melunaskan pinjaman yang dibuat dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Menurut Watson, dia berasa lega apabila kerajaan negeri membantunya menyelesaikan tunggakan pinjaman bank berjumlah RM80,000 itu.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana tidak lagi bergelar muflis dan berterima kasih kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem serta kerajaan negeri kerana membantu membersihkan status bankrap yang menjadi igauan kepada saya dan keluarga sebelum ini.

“Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Perumahan Nasional Bhd. (SPNB) dan Naim Holdings di atas pemberian sebuah rumah baharu di Vista Perdana di sini,” katanya.

Watson berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima replika kunci rumah yang dihadiahkan itu di sini, hari ini.

Rumah dihadiahkan kepada lelaki terpantas negara yang pernah memecah rekod 100 meter kebangsaan 18 tahun lalu itu me­rupakan sebuah rumah teres satu tingkat dengan tiga bilik di kawasan perumahan Vista Perdana di sini bernilai RM350,000 daripada SPNB dan Naim Holdings.

Kata bapa kepada tiga orang anak itu lagi, impiannya kini adalah mahu merayakan Krismas di rumah baharu itu.

“Saya tidak tahu lagi bila saya boleh pindah kerana rumah itu masih menunggu permit menduduki daripada pihak berkenaan, namun saya sudah teruja,” katanya lagi.

Penyerahan replika kunci rumah disaksikan oleh Adenan, Pengerusi Naim Holdings, Datuk Amar Hamid Sepawi dan Pengerusi SPBN, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.