Setiausaha Kehormat, Datuk Low Beng Choo berkata, apa yang menjadi penentu kepada kejayaan penerjun Malaysia ialah kemampuan mereka memberikan persembahan terbaik sewaktu bertanding, bukannya isu air yang berubah warna.

Tambahan pula, katanya, peserta negara lain turut bertanding dalam keadaan dan kolam yang sama sebagaimana atlet Malaysia manakala penganjur mengesahkan air yang digunakan adalah selamat.

“Persoalan sekarang adakah mereka boleh memberikan persembahan terbaik sewaktu bertanding. Kita perlu beri fokus kepada prestasi atlet, bukan sebaliknya.

“Sebab itu kami memastikan atlet merasakan mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar di sini yang menerima sokongan semua pihak termasuk daripada petugas media,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Ketua Kontinjen Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid di sini semalam.

Kelmarin, pasangan penerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat Perak disiplin 10m platform seirama dalam kolam yang berubah warna menjadi kehijuan sedangkan sehari sebelumnya air jernih kebiruan.

Kolam kedua di pusat akuatik berkenaan yang digunakan untuk acara polo air dan renang berirama pula bagaimanapun tidak terjaga.

Antara penerjun negara yang mempunyai peluang meraih pingat dalam acara di pusat akuatik Olimpik selepas ini adalah Pandelela Rinong dan Ooi Tze Liang, masing-masing dalam disiplin 10m platform wanita dan lelaki.

Dalam pada itu, Beng Choo berkata, pihak penganjur masih mencari punca kenapa air berkenaan berubah warna dan mereka juga telah memberi beberapa penjelasan awal kenapa hal itu berlaku.

Katanya, antara kemungkinan yang dinyatakan ialah mengenai keseimbangan penggunaan bahan kimia untuk merawat kualiti air di kolam berkenan.

“Mereka tidak merahsiakan apa-apa malah laporan Chef de Mission adalah komprehensif dan telus, mereka akan beritahu apa yang sebenarnya berlaku termasuk isu keselamatan dan insiden-insiden yang berlaku,” katanya. 
– UTUSAN