Malah penyertaan orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang dalam larian obor itu mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia terhadap temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 16 tahun lalu.

Terdahulu, Larian Obor KL2017 dimulakan di Dataran Gemilang pada pukul 7.30 pagi apabila obor dibawa menaiki belon udara panas oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Balan Mohan.

Beliau kemudian membawa turun obor itu lalu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa untuk acara larian.

Ali bersama ketua-ketua setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta penjawat awam diiringi pelari sokongan seterusnya berlari membawa obor sejauh 1.2 kilometer (km) menuju ke Wisma Tani.

Larian Obor KL2017 peringkat Putrajaya sejauh 7.7 km itu diteruskan melalui bangunan-bangunan ikonik negara antaranya Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra, Dataran Putra dan Bangunan Perdana Putra.

Antara kenamaan tidak melepaskan peluang membawa obor ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Subromaniam dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Acara larian itu berakhir di Menara Kementerian Belia dan Sukan.

Selain Kuala Lumpur, Putrajaya turut menjadi tumpuan KL2017 menerusi penganjuran beberapa acara sukan antaranya, polo, renang dan triathon.