Dalam masa terdekat ini sasaran buat kontinjen negara bakal diumumkan dan sebelum keputusan dibuat dua perkara penting harus diambil kira adakah ia sekadar untuk mendapatkan publisiti umum atau demi kepentingan sukan tanah air.

Ketika transisi kepimpinan negara yang ternyata memberi kesan besar kepada persiapan atlet kebangsaan menjelang Sukan Asia 2018 formula sasaran Sukan SEA 2015 mungkin wajar diambil kira sebagai penilaian prestasi keseluruhan kontinjen negara dalam masa sama setiap atlet atau persatuan sukan kebangsaan harus mempunyai sasaran masing-masing.

Pada Sukan SEA di Singapura tiga tahun lepas, kontinjen negara tidak meletakkan sasaran pingat emas sebaliknya menggunakan kiraan peratusan purata pingat diraih sebagai sasaran.

Ketika itu negara meletakkan sasaran 56 peratus kutipan semua jenis pingat daripada 335 acara yang disertai dalam Sukan SEA 2015 iaitu 184 pingat keseluruhan.

Hasilnya Malaysia berjaya menepati sasaran apabila meraih 62 pingat emas, 58 pingat perak dan 66 pingat gangsa untuk jumlah keseluruhan 186 pingat.

Hari ini semua mahu melihat kecemerlangan dan kecemerlangan juga adalah sesuatu yang subjektif untuk dinilai, bukan sekadar menerusi pingat tetapi memperbaiki pencapaian semasa juga satu kejayaan.

Dalam Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, negara meletakkan sasaran lapan pingat emas kepada kontinjen yang diketuai oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah dengan harapan ia dapat menimbulkan sedikit keceriaan kepada tanah air yang dilanda beberapa tragedi menyayat hati termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan tragedi MH17.

Biarpun sasaran itu dilihat lebih rendah berbanding Sukan Asia 2010 di Guangzhou yang menyaksikan kontinjen negara meraih sembilan pingat emas di China namun akhirnya hanya lima sahaja emas dibawa pulang selepas kempen di Korea Selatan pada 2014.

Tekanan dan harapan yang terlalu tinggi menggunung disandarkan kepada atlet negara dalam kempen temasya 2014 di Incheon ketika rakyat Malaysia masih bersedih atas insiden besar mungkin menyukarkan mereka beraksi selesa bagi menepati sasaran ber­kenaan.

Danyal yang juga bekas Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan turut berpendapat salah satu cara bagi meringankan tekanan buat kontinjen negara sepanjang kempen di Indonesia ialah sekadar meletakkan sasaran memperbaiki pencapaian semasa berbanding meletakkan harapan tinggi mendapatkan pingat.

“Kini kita lebih memandang kepada pencapaian pingat dalam sesuatu temasya sebagai ukuran kejayaan namun adakah apabila seseorang atlet itu tidak berupaya mendapatkan pingat tetapi berjaya memperbaiki pencapaian lalu tetap dianggap sebagai gagal?

“Perkara-perkara sebegini harus difikirkan kerana jika terlalu memberikan tekanan pasti akan menyukarkan atlet bersaing dengan baik terutama dalam temasya besar di Asia ini,” katanya.

Pandangan bekas Naib Presiden MOM itu juga boleh diambil kira sebelum memutuskan sasaran Sukan Asia 2018.