IOC hari ini memutuskan untuk tidak mengambil tindakan drastik dengan menggantung seluruh kontinjen Rusia ekoran skandal doping yang melanda negara itu, sebaliknya menyerahkan nasib atlet secara berasingan kepada persekutuan sukan masing-masing.

Menurut WADA, mereka kekal dengan pendirian mahu kontinjen Rusia diharamkan sepenuhnya daripada me­nyertai temasya di Rio, yang bermula pada 5 Ogos ini dan amat kesal dengan pendekatan yang diambil oleh IOC.

“Tindakan IOC membawa mesej kurangnya keharmonian, cabaran yang adil serta pelindungan terhadap atlet yang benar-benar bersih,” kata Ketua Pengarah WADA, Olivier Niggli.

Presiden WADA, Craig Ree­die pula berkata, penyiasat telah ‘membuat pendedahan tanpa keraguan’ bahawa program doping secara terancang dijalankan di Rusia dan ia secara serius melemahkan prinsip-prinsip sukan bersih seperti yang termaktub dalam Kod Antidoping Dunia.

WADA turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib pelari jarak sederhana Rusia, Yuliya Stepanova, yang sanggup memberi keterangan serta mendedahkan salah laku penggunaan doping di Rusia tetapi dia kini tidak dibenarkan bertanding di Rio di bawah bendera bebas.

“Cik Stepanova memainkan peranan penting dan membuat pendedahan berani terhadap skandal doping terbesar dalam sejarah yang berlaku di negaranya. WADA amat prihatin dengan perkara ini,” kata Niggli lagi.

Biarpun nasib 387 atlet Rusia yang sepatutnya bertanding dalam Olimpik 2016 masih tidak menentu, namun pendedahan Stepanova menyebabkan 68 atlet olahraga negara itu, termasuk dirinya sendiri tidak dibenarkan beraksi di Rio selepas digantung oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Seorang profesor dari Kanada yang menjalankan siasatan bagi pihak WADA, Richard McLaren minggu lalu mendedahkan, berlaku pengambilan doping secara serius, terancang dan ditaja kerajaan dalam kalangan atlet Rusia sejak 2011. Skala pencabulan doping menjadi lebih besar ketika mereka menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014. – AGENSI