Imbuhan itu diberikan selepas mereka menampilkan aksi cemerlang dengan membantu skuad negara memenangi satu pingat emas pada Sukan SEA, Myanmar 2013 dan dua pingat emas di Sukan Komanwel, Glasgow di Scotland.

Mereka turut memenangi satu pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Vivian ketika ditemui menyatakan, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima imbuhan sebanyak itu, dan insentif itu akan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus melakar kejayaan pada masa akan datang selain mencari peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Ini merupakan insentif paling banyak pernah saya terima dan paling penting selepas ini ialah mencari slot ke Sukan Olimpik.

“Sasaran saya untuk tahun ini sudah tercapai iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Secara keseluruhan tahun ini, saya berpuas hati dengan pencapaian saya dan tahun depan sudah pasti akan menjadi lebih mencabar,” kata penuntut tahun akhir jurusan Sarjana Muda Pengajian Sains Sukan di Universiti Malaya itu.

Kementerian Pendidikan memperuntukan sebanyak RM613,000 kepada lebih 70 atlet Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang cemerlang dalam kejohanan antarabangsa serta temasya sukan utama sepanjang tahun 2013-2014.

Turut menerima insentif terbanyak ialah ratu terjun negara, Pandelela Rinong (RM23,500), atlet karate Lim Chee Wei (RM21,000) dan atlet terjun Cheong Jun Hoong (RM17,500).

Sementara itu, atlet lempar cakera Mohd. Irfan Shamsuddin memberitahu, dia sangat gembira dengan pemberian insentif dan akan dijadikan perangsang untuk terus meraih kejayaan di pentas antarabangsa pada masa akan datang.