Ibu negara Laos itu mungkin kecil dan hanya memiliki 700,000 penduduk, namun mereka nyata bersemangat besar apabila memberi sambutan hebat kepada la­rian bersejarah itu.

Konsep rakyat yang menampilkan suasana mesra dalam kala­ngan orang kenamaan, atlet dan orang awam begitu terasa dengan semua golongan masyarakat berlari bersama sambil membawa bendera 11 negara Asia Tenggara serta bendera KL 2017 menyusuri tempat bersejarah seperti Patu­xay dan Monumen Raja Fa Ngum.

“Tahniah kepada Kementerian Pelajaran dan Sukan Laos serta Majlis Olimpik Kebangsaan atas kejayaan melibatkan penduduk tempatan menyertai acara ini.

“Ini melonjakkan semangat kami untuk menganjurkan temasya Kuala Lumpur 2017,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dalam sidang akhbar selepas Larian Baton Bangkit Bersama.

Kuil Budha yang bersalut warna emas, dikenali dengan That Luang atau Great Stupa menjadi titik permulaan dengan Saravanan menye­rahkan baton kepada Menteri Pelajaran dan Sukan Laos, Sengdeuane Lachanthaboune sebagai simbolik menandakan bermulanya acara.

Saravanan bersama Sengdeuane serta orang kenamaan dan wakil kedua-dua negara kemudian memulakan larian dari That Luang menuju ke pusat pemeriksaan pertama, Patuxay atau Victory Gate, sebuah tugu peringatan peperangan yang dibina pada 1960-an sebagai tanda kemerdekaan Laos daripada Perancis.

Malah, pelari utama bagi la­rian baton yang terdiri daripada sekumpulan atlet sukan renang, karate, memanah dan badminton diberi peluang bergilir gilir memegang baton menuju ke hentian seterusnya.

Turut memberi sokongan kepada kumpulan atlet ini adalah penduduk tempatan yang berlari dan berbasikal sehingga ke lokasi penamat.

Kumpulan pelari dari Patuxay, kemudian menyerahkan baton kepada pemain bola sepak dan atlet silat yang meneruskan larian menuju ke titik kedua, Dewan Kebudayaan Nasional dan kumpulan berikutnya menuju ke hentian ketiga di Monumen Raja Fa Ngum, Raja yang terkenal kerana membentuk kerajaan Lane Xang pada abad ke-14.

Di hentian ketiga iaitu Monumen Raja Fa Ngum baton diserah kepada sekumpulan atlet tinju, silat serta ping pong dan kumpulan ini meneruskan larian ke titik keempat di Kediaman Rasmi Presiden Laos. Destinasi larian selepas ini adalah Myanmar.