Umi Syuhadah memenangi pingat emas merejam lembing F37 dengan jarak sejauh 18.90 meter (m) menewaskan dua atlet Vietnam, Nguyen Thi Mai yang memenangi pingat perak (18.58m) manakala Ha Thi Hue sekadar memperoleh gangsa (16.84m).

Umi Syuhadah juga menyumbang emas acara melempar cakera F37 dan semalam memenangi saingan melontar peluru F37.

Kata Umi Syuhadah, dapat mencapai sasaran peribadi tiga pingat emas sudah cukup memuaskan.

Dua pingat emas diraih Umi Syuhadah membantu Malaysia mengumpul lapan pingat emas olehraga untuk hari ini.

Baki enam lagi pingat emas diperoleh menerusi Shamli Wadi dalam saingan akhir merejam lembing F36 (cerebral palsy), Muhammad Ashraf Muhammad Haisham acara 1500 m T46 (kekurangan anggota badan), Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dalam acara 400 m T20 (masalah pembelajaran) serta Bajury Ladis dalam acara melontar peluru F35 (cerebral palsy).

Malaysia turut cemerlang dalam aksi 100m apabila memenangi dua pingat emas acara tersebut menerusi S. Thavanesvaran dalam kategori T42/43/44 (masalah anggota badan) dan Ahmad Solihim Mohd. Nor, kategori T45/46 (masalah anggota badan).

Esok 26 pingat emas ditawarkan pada hari keempat pertandingan.