Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan tersebut dalam pertemuan baginda dengan 14 wakil ahli gabungan FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, di sini pada pukul 9.30 pagi ini.

Dengan perkembangan tersebut, kerusi No. 1 FAM itu bakal menyaksikan Tunku Ismail berdepan Tan Sri Annuar Musa yang juga mengesahkan untuk merebut jawatan tersebut, setelah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menyatakan keputusan muktamadnya, hari ini.

Bagaimanapun, dengan sokongan kuat 14 ahli gabungan FAM yang mahukan pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerajui badan induk bola sepak negara, Annuar dilihat mungkin berdepan laluan sukar untuk memenangi pertandingan membabitkan dua penjuru itu pada 25 Mac ini.


Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Keputusan Annuar itu dilihat mengejutkan bola sepak tempatan kerana sebelum ini beliau pernah berhasrat untuk menarik diri daripada perebutan kerusi panas FAM tersebut sekiranya Tunku Ismail mahu bertanding, namun kini lain pula jadinya.

Susulan daripada perkenan Sultan Johor, Tunku Ismail yang dipetik kenyataannya menerusi laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers berkata: “Patik hanya menjunjung titah Tuanku dan baginda membalas: 'Ubahlah air muka bola sepak tanah air’.”

Sementara itu, Mohd. Yusoff ketika ditemui pemberita berkata, usaha mereka selama beberapa bulan bagi merealisasikan hasrat untuk melihat Tunku Ismail menerajui badan induk bola sepak negara akhirnya menjadi kenyataan.

Menurutnya, selepas pertemuan selama lebih sejam, Sultan Johor akhirnya memberikan perkenan setelah ahli gabungan yang hadir menekankan bahawa kehadiran mereka menunjukkan sokongan tidak berbelah-bahagi dan tulen kepada Tunku Ismail.

"Persetujuan baginda bergantung kepada ketulenan sokongan kita kepada TMJ. Baginda tidak mahu yang datang hari ini 14 tetapi akan berakhir dengan keputusan lain (pemilihan jawatan Presiden FAM). Jadi, kita beritahu sokongan kita tulen.

"Ini kerana kita mahu Tunku Ismail membuat perubahan dalam FAM, selain tidak nampak calon lain yang lebih layak menerajui FAM khususnya membawa bola sepak negara ke satu tahap lebih tinggi. Jadi, akhirnya, baginda bersetuju memberi perkenan," katanya.

Tambahnya, Sultan Johor turut bertitah agar Tunku Ismail diberi masa bagi membawa bola sepak negara ke tahap lebih baik.