Atlet berusia 25 tahun itu berkata, kali terakhir bertemu pencabarnya itu adalah pada Kejohanan Karate Asia kira-kira dua bulan lalu, sambil mendedahkan bahawa atlet tersebut tidak banyak perubahan dalam teknik yang digunakannya di KLCC.

“Saya sangat yakin dalam perlawanan ini kerana sudah biasa bertemu dengannya. Saya dapat menilai kelebihan serta kekurangan Cam Lanh, sekali gus mampu menguasai pertarungan dengan mudah.

“Sepanjang persediaan untuk Sukan SEA, saya telah mengasah teknik istimewa untuk meningkatkan mutu permainan menjadi lebih baik,” kata bekas pemain No. 1 dunia itu kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Selain emas Syakilla, R. Sharmendran turut menyinari hari kedua pertandingan apabila menaiki podium menerusi acara kumite bawah 75kg lelaki, selain tiga gangsa daripada A. Somanroy (atas 75kg lelaki), M. Mathivani (kumite bawah 68kg wanita) dan S. Prem Kumar (kumite bawah 55kg lelaki).

Skuad kebangsaan kini mengumpul lima emas, satu perak dan tiga gangsa.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Andre Vasiljevs berasa kecewa dengan kontroversi yang melanda Prem Kumar selepas slot akhir atlet muda negara itu ditarik balik kemenanganya susulan kesilapan teknikal.

“Memang kita berasa kecewa ,” katanya.

Acara kumite yang dimenangi Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam Sukan SEA Ke-29