Itu persoalan yang diajukan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din kepada salah seorang pegawai perubatan sejurus tiba di venue Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di sini, sebentar tadi.

Perasaan amarah itu diluahkan susulan tindakan pesilat tuan rumah, Hanifah Yudani Kusuma yang menendang di bahagian bawah dagu Zarish Hakim Shukor sewaktu aksi suku akhir Kelas Putra C semalam, sehingga pesilat harapan negara itu rebah lalu pengsan.

'Taktik kotor' tuan rumah berkenaan dikesan apabila pegawai perubatan yang memeriksa Zarish kemudian mengatakan kepadai ketua wasit bahawa pesilat berusia 19 tahun itu masih boleh meneruskan perlawanan sedangkan dia tidak sedarkan diri.

Susulan pengesahan pegawai perubatan itu, ketua wasit terus membuat kiraan 10, sekali gus menyaksikan Zarish disahkan kalah selepas gagal bangun daripada tempoh berkenaan.

Video oleh SUFIAN HADI SOJAK

"Saya tanya kepada pegawai perubatan, kalau ada pendarahan dalaman dna pesilat itu mati bagaimana?

"Perkara seperti itu perlu dibendung. Kita nak bagi tahu kepada mereka bahawa perkara seperti ini sepatutnya tak boleh berlaku. Nyawa pesilat lebih mustahak," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Megat Zulkarnain tiba di venue kejohanan di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Denpasar di sini sebelum berjumpa dengan salah seorang wakil pegawai perubatan bagi menuntut penjelasan terhadap insiden tersebut.

Bagaimanapun perbincangan tersebut bertukar tegang sehingga memaksa campur tangan pegawai keselamatan bagi meredakan keadaan sebelum dibawa ke bilik sekretariat untuk tindakan lanjut.

Susulan daripada itu, Megat Zulkarnain akan membentangkan laporan penuh dan bantahan rasmi kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) berhubung insiden yang menimpa pesilat kelahiran Temerloh itu.

"Kami (Pesaka) akan membentangkan dua perkara tersebut dalam satu mesyuarat Persilat minggu ini bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya buat Zarish," katanya. - UTUSAN ONLINE