Muncul juara pada tahun yang sama sebelum ini iaitu 2012 dan 2015, Jufferi dan Rahmah tidak berdepan masalah menumbangkan pencabar ma­sing-masing dalam pertarungan akhir iaitu pesilat Thailand, Kuibrohem Kumaha 5-0 dalam Kelas Putra E; serta Nguyen Thi Yen dari Vietnam 5-0 dalam Kelas Putri E.

Dalam pada itu, Malaysia me­lahirkan seorang lagi jaguh dunia menerusi Razak Ghazali yang menumpaskan peserta tuan rumah Iqbal Chandra Pratama 3-2 dalam persaingan akhir Kelas Putra D.

Begitupun, Pesaka perlu segera mencari pengganti Siti Rahmah apabila srikandi negara itu mengumumkan persaraannya di pentas dunia sejurus mencapai kejuaraan ketiga itu. Dia bagaimanapun berkata tetap akan mengambil bahagian dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Asia 2018 di Jakarta.

“Umur saya sekarang sudah mencecah 29 tahun. Kejohanan Dunia ini adalah yang terakhir untuk saya, disusuli Sukan SEA dan Sukan Asia akan datang.


Video oleh SUFIAN HADI SOJAK

“Saya berhasrat menjadi jurulatih pula selepas ini,” katanya, yang menghadiahkan kemena­ngan tersebut kepada ibunya Syarifah Aishah Syed Hussain Albar yang turut berada di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Denpasar di sini untuk menyaksikan Rahmah beraksi.

Bagaimanapun Olahragawan Negara 2015, Jufferi pula me­negaskan dia mahu melebarkan rekod kejayaannya menerusi kejohanan dunia akan datang memandangkan usianya dilihat tidak menghalang untuk dia berbakti kepada Malaysia.

“Umur saya baru 24 tahun, masih muda lagi dan saya sanggup berkorban demi negara. Untuk Sukan SEA di Malaysia nanti, saya perlu membuat persiapan rapi dalam usaha mempertahankan pingat emas,” katanya yang berhasrat membawa ibunya Marsinah Dalimin menunaikan umrah susulan kejayaan tersebut.

Kejayaan mereka itu me­nyaksikan Malaysia mengumpul tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa secara keseluruhan dalam kejohanan edisi ke-17 
itu. – UTUSAN