Dalam acara hari ini, obor tersebut diserahkan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Ezahar Abu Sairin dan disambut oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Ng Choon Koon.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Shadan Othman kemudian mengetuai peserta dari Laman Belia Sungai Rambai dan meneruskan larian sejauh 2.1 kilometer hingga ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini hari ini.

Acara pelepasan larian itu yang dihadiri oleh Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor, Abdul Ghani Abdul Rahman disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd. Fauzi Ariffin pada pukul 11.20 pagi.

Sementara itu, Zamrud ketika berucap dalam majlis berkenaan berharap negara dapat mengekalkan prestasi cemerlang sebagai tuan rumah Sukan SEA kali ini sama seperti penganjuran Sukan Komanwel pada 1998.


Video oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR

Obor berkenaan akan dipamerkan kepada orang ramai di pusat beli-belah AEON Bandaraya Melaka di Peringgit esok sebelum dibawa menaiki Melaka River Cruise menyusuri Sungai Melaka.

Larian Obor Kuala Lumpur 2017 dijangka akan diteruskan pada Sabtu ini di Dataran Restoran Melayu Melaka, Jalan Tun Mutahir sebelum diteruskan pada Ahad ini di Dataran Keris, Alor Gajah.

Larian obor berkenaan akan berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos depan sebagai simbolik bermulanya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29.