Ketika penganjur dan kontinjen yang berada di sini bimbang mengenai risiko penularan pe­nyakit beguk, sebaliknya pergaduhan yang lebih cepat menjangkit dan kebetulannya melibatkan pasukan daripada kontinjen yang sama iaitu Johor.

Jika dalam perlawanan bola sepak lelaki Johor bergaduh dengan Terengganu pada Isnin lalu, kali ini pasukan futsal mereka pula bergaduh ketika menentang Wilayah Persekutuan dalam Kumpulan B di Manjung Indoor Sport Arena yang mana mereka tewas 4-6.

Kekecohan itu berlaku pada babak akhir permainan dengan berlaku tolak menolak dan tarik menarik dalam kawasan gelanggang antara kedua-dua pasukan tersebut.

Walau bagaimanapun, jurulatih Johor, Ahmad Hanif Sarmin berharap peminat-peminat sukan tempatan tidak cepat meng­hukum imej negerinya kerana insiden seperti ini sukar dikawal walaupun pemain telah dinasihatkan supaya mengawal emosi ketika perlawanan.

“Walaupun saya selalu menasihati pemain supaya mengawal emosi mereka namun perkara itu tetap berlaku. Apatah lagi isu pergaduhan pasukan bola sepak Johor masih lagi panas.

“Insiden bola padang masih belum selesai, sekarang ditambah lagi kekecohan futsal me­ngaitkan nama Johor. Kepada sesiapa yang tidak tahu cerita sebenar, mereka tidak boleh cepat melatah atau buat spekulasi yang tidak benar.

“Ini jelas tidak adil buat Johor kerana perlawanan ini berakhir dengan baik dan tiada pemain mengalami kecederaan walaupun memang ada adegan panas ketika menentang Wilayah Persekutuan,” katanya.

Tambah jurulatih berusia 32 tahun itu, isu berkenaan telah diselesaikan secara baik selepas kedua-dua pasukan memohon maaf di atas sikap terlalu mengikut emosi sehingga menimbulkan kekecohan itu sejurus tamat perlawanan.

“Kedua-dua pasukan telah memohon maaf selepas perlawanan berakhir dan saya fikir kekecohan ini berlaku disebabkan salah faham sahaja. Bukannya serius seperti yang berlaku kepada (pasukan) bola sepak padang.

“Bertengkar mulut adalah satu perkara normal dalam sukan dan saya berharap tiada mana-mana pihak cuba membuat spekulasi mengenai insiden ini kerana bergaduh bukan budaya Johor,” jelasnya.

Sebelum ini pergaduhan serius berlaku melibatkan pasukan bola sepak Johor dan Terengganu dalam perlawanan di kedua Kumpulan B di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim dan isu tersebut telah dibawa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengambil tindakan sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail sekali lagi mengharapkan setiap ketua kontinjen negeri memainkan peranan menasihatkan pemain-pemain muda ini agar mengawal emosi dan mengamalkan sema­ngat kesukanan yang tinggi.

“Kita amat bimbang dengan kawalan emosi pemain dan kita berharap ketua kontinjen negeri dapat memberikan teguran serius kepada pasukan masing-masing.

“Kita seharusnya tanam semangat kesukanan dan janganlah mencemarkan nama baik diri sendiri, negeri atau sukan itu sendiri kerana kita tidak mahu atlet kita terlalu beremosi,” ujarnya.