Video oleh ROZAIDI ZULKIFLI

Pengesahan polis mengenai penahanan seorang jurulatih terjun berusia 35 tahun atas dakwaan merogol penerjun kebangsaan menjadi detik paling hitam buat sukan terjun yang selama ini lebih banyak diketengahkan dengan kejayaan atlet mereka di pentas dunia.

Lebih malang lagi, berita itu hadir beberapa jam selepas seorang penerjun wanita yang memenangi emas dalam Sukan SEA Ke-29 (KL2017), Ogos lalu gagal ujian doping dan perkara tersebut disahkan oleh ASUM.

Utusan Malaysia difahamkan, bahan terlarang yang diambil atlet berkenaan adalah dadah jenis sibutramine sama seperti yang diambil oleh atlet wusyu, Tai Cheau Xuen dalam Sukan Asia 2014 yang bertujuan untuk menurunkan berat badan.

Memandang ia bukan dadah prestasi, kesalahan Cheau Xuen hanya menyebabkan dia digantung empat bulan.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan ketika ditemui enggan mengulas lanjut berhubung dua kes berkenaan.

“Ini kes (rogol) polis. Saya tidak boleh beri sebarang kenyataan kerana ia boleh mengganggu siasatan. Sehingga kes selesai, baru kami dedahkan.

“Bagi kes doping, ia akan mengambil masa yang panjang. Sehingga itu atlet terbabit akan meneruskan latihan dan terlibat sama dalam proses pemilihan ke Sukan Komanwel,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan Komanwel di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Terjun muncul pasukan paling cemerlang dalam KL2017 apabila menyapu bersih kesemua 13 pingat emas yang ditawarkan, malah sukan itu turut memenangi semua lapan emas dipertandingkan di Singapura 2015.

Menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, terjun turut menghadiahkan perak dalam Sukan Olimpik 2016, malah Jun Hoong memahat sejarah merangkul gelaran dunia, Julai lalu.

Sepanjang Sukan SEA dari 19-30 Ogos, terjun membariskan tujuh atlet wanita yang semuanya meraih emas diketuai Jun Hoong, Pandelela, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Traisy Vivien Tukiet, Jasmine Lai dan Wendy Ng.

Sementara itu, selain pemenang emas dari Malaysia, dua lagi atlet Thailand turut disahkan positif doping dalam KL2017.

Ketua Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr SS Cheema berkata, ujian makmal yang dilakukan di New Delhi mendapati terdapat bahan larangan dalam sampel A semua atlet tersebut.

“Kita menerima laporan daripada makmal di New Delhi dua minggu lalu yang mengesahkan kewujudan bahan larangan pada tiga atlet yang menyertai KL2017.

“Namun kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan mengatakan kesemua atlet itu bersalah sehingga siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya.