Video oleh NURFATEHAH ABDUL RASHID

Bagi Wai Kin, kemenangan emas setelah meraih pungutan mata tertinggi dengan 9.67 mata dalam acara jianshu lelaki cukup bermakna kerana ia dijelmakan sempena ulang tahun bapanya Yeap Peng Hoe yang ke-60.

“Ayah adalah segala-galanya bagi saya kerana tanpa pengorbanannya dari segi masa, wang ringgit dan kudrat, saya tidak akan berdiri menggenggam kejayaan seperti hari ini.

“Ini merupakan penyertaan keempat saya dalam Sukan SEA. Sebelum ini saya gagal untuk meraih sebarang pingat dalam dua kejohanan dwitahunan ini,” katanya yang akan memburu emas kedua dalam acara seterusnya, qiangshu, esok.

Wei Kin, 24, yang mula menceburkan diri dalam sukan wusyu sejak berusia lapan tahun berkata, bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi banyak memberi dorongan serta galakan untuk berjaya kerana keluarganya bukan berasal daripada keluarga berada.

Berkongsi kisah menarik lagi, atlet berusia 24 tahun itu berkata, sekiranya tidak terlibat dalam sukan, dia berminat untuk menjadi seorang pelakon seperti idolanya, Jet Li.

“Sekarang saya fokus kepada latihan, jadi tidak mempunyai masa untuk terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan lakonan mahupun peragaan, tetapi sekiranya mendapat tawaran, apa salahnya untuk mencuba,” katanya sambil tertawa.

Sementara itu, pemenang perak jianshu wanita, Phoon Eyin berpuas hati dalam persembahannya selepas tewas kepada Duong Thuy Vi dari Vietnam dengan beza pungutan mata 0.04.

“Walaupun tidak dapat emas, saya sudah cukup gembira dan puas hati kerana saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat untuk pertandingan ini,” katanya.

Skuad kebangsaan berada di landasan tepat untuk muncul juara keseluruhan apabila cemerlang pada hari pembukaan wusyu, Sukan SEA, dengan menggondol tiga emas, tiga perak.

Dalam pada itu Pengurus pasukan wusyu negara, Ho Ro Bin berkata, momentum cemerlang ini boleh dikekalkan esok kerana enam pingat emas yang ditawarkan bukanlah satu mimpi untuk dicapai, sebaliknya mampu direalisasikan.

“Kesemua atlet mempunyai standard setaraf dan mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan emas esok.

“Persembahan yang ditonjolkan oleh atlet-atlet pada hari ini berada di tahap terbaik, begitu juga semangat juang yang dipamerkan oleh mereka,” katanya sejurus tamat perlawannan.