Kejayaan itu bermakna Malaysia menjadi pasukan pertama yang memecahkan penguasaan Thailand ke atas goalball setelah memenanginya pada 2005, 2008, 2011, 2014 dan 2015.

Ketua pasukan negara Husnaini Samsudin berkata kejayaan memenangi pingat emas di laman sendiri itu pastinya memberi kepuasan kepadanya dan rakan sepasukan selepas terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sebelum bermulanya temasya dwitahuanan itu.

“Penantian kami selama 12 tahun untuk mendapatkan emas sudah tercapai. Terlalu banyak pengorbanan yang telah kami lakukan dalam usaha kami untuk mendapatkan emas.

“Saya pernah tidak balik pada Hari Raya Korban semata-mata kerana mahu menjalani latihan bersama pasukan. Saya juga terpaksa meninggalkan kerja sebagai tukang urut selama empat atau lima bulan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

Gangsa dimenangi oleh Laos selepas mereka menewaskan Indonesia 17-12.

Husnaini, 34, yang mempunyai masalah penglihatan sejak dilahirkan berkata perancangan mereka seterusnya adalah memberi tumpuan kepada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia walaupun tidak mengetahui masa depannya bersama pasukan.

Sementara itu, jurulatih goalball negara Abdul Karim Raham yang mula membimbing pasukan itu sejak Jun lalu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum berjaya membentuk pasukan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Berbagai masalah terpaksa saya lalui untuk membentuk pasukan ini. Bermula daripada pengumpulan pemain sehingga mengatur jadual latihan selama empat bulan kerana ada pemain yang bekerja dan terpaksa minta cuti daripada majikan. Malah saya terpaksa memanggil pemain sejauh dari Thailand,” katanya.

Bagi kategori wanita Malaysia menduduki tempat ketiga manakala pingat emas dimenangi oleh Thailand dan perak menjadi milik Laos.