Dengan persaingan hanya berbaki sehari dan menawarkan 19 emas daripada dua sukan iaitu 17 menerusi pingpong dan dua daripada goalball, hanya keajaiban yang dapat membantu kontinjen negara menokok 14 lagi emas.

Ketua kontinjen negara Datuk R. Subramaniam turut mengakuinya.

“Saya menjangkakan misi untuk mencapai sasaran 103 pingat emas dan muncul sebagai juara keseluruhan agak sukar memandangkan pingat yang dipertandingkan sudah semakin berkurangan. Walaupun masih ada 19 pingat emas, peluang agak tipis,” katanya.

Sementara itu Malaysia menamatkan persaingan olahraga dengan mengumpul 36 pingat emas, 27 perak dan 30 gangsa daripada 134 acara dipertandingkan sekali gus harus menerima hakikat gagal mencapai sasaran 40 pingat emas.

Malaysia meraih tujuh emas hari ini, termasuk menerusi dua atlet tumpuan iaitu Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi selain mengutip enam pingat perak dan tujuh pingat gangsa.

Abdul Latif meraih pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) manakala Mohamad Ridzuan menjadi sensasi hari ini apabila membuat penampilan selepas pulih daripada demam denggi untuk memenangi acara lari 200 meter (m) T36 (cerebral palsy).

Pengurus skuad olahraga negara Mohd. Zarawi Ravi Abdullah berkata, dia tetap bangga dengan pencapaian atletnyai.

“Sasaran ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) adalah 38 pingat emas dan kami sendiri menetapkan 40, namun meraih 36 pingat emas serta dapat mengatasi pencapaian di Singapura tetap sesuatu yang membanggakan,” katanya.

Jumlah pingat emas yang diraih kem olahraga negara itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di kedudukan kedua keseluruhan.

Indonesia muncul juara selepas mengumpul 40 pingat emas, 28 pingat perak dan 17 pingat gangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pencapaian skuad olahraga negara kali ini mengatasi 27 pingat emas sewaktu edisi kelapan di Singapura 2015 dan berada di kedudukan ketiga.

Dalam pada itu, selain Abdul Latif dan Mohamad Ridzuan, baki lima pingat emas hari ini diraih menerusi Faridul Masri yang cemerlang dalam saingan akhir melontar peluru F56 (kecacatan anggota kaki), Doriah Poulus dalam acara lontar peluru F42/44 (masalah kaki) wanita manakala dua lagi menerusi aksi 200m.

Atlet pecut negara S. Thavanesvaran mengikut jejak Mohamad Ridzuan apabila menghadiahkan pingat emas 200m T42/43/44 (masalah kaki), begitu juga dengan Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah yang memenangi pingat emas 200m T12 (masalah penglihatan).

Pingat emas ketujuh bagi hari ini dan ke-36 buat kem olahraga negara dimenangi menerusi Mohd. Rozi Mat Hasin selepas mengungguli acara rejam lembing F35 (cerebral palsy).