Bekas Setiausaha Agung AFC, Datuk Dr. Peter Velappan memberi­tahu, dia “terkejut” dengan pendedahan mengenai sahabat dan penggantinya, Datuk Alex Soosay.

Katanya, badan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu memerlukan satu siasatan menyeluruh oleh pakar bebas ekoran pelbagai tuduhan menyembunyikan kebenaran, penggelapan wang dan pencurian.

“Sepatutnya ada satu siasatan profesional bebas terhadapnya...itu kepen­tingan semua orang untuk melakukannya,” kata Velappan dari Kuala Lumpur.

“Saya secara peribadi berasa amat prihatin dengan keadaan ini dan saya fikir AFC perlu mengarahkan satu siasatan bebas dan menghukum sesiapa yang berkenaan jika mereka telah berbuat sesuatu yang salah,” tambahnya.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu digantung kelmarin selepas AFC mengadakan satu siasatan dalaman selepas tuduhan timbul bulan lalu bahawa dia cuba menyembunyikan dokumen daripada penyiasat kewangan pada 2012.

Tuduhan itu dilakukan oleh pengarah kewangan AFC yang memberikan keterangan video pada Julai 2012 bahawa Soosay mengarahkannya untuk “mengubah (dengan) atau menyorokkan” dokumen yang berpotensi mempunyai kesalahan.

Ketika itu, AFC disiasat kerana salah laku kewangan di bawah bekas presiden Mohamed Hammam yang digantung daripada aktiviti bola sepak seluruh dunia.

Hasil audit PricewaterhouseCoopers tidak pernah diterbitkan tetapi butiran yang bocor mencetuskan kebimbangan berhubung pembayaran bernilai berjuta-juta ringgit.

Beberapa hari selepas temu bual yang dirakam itu, AFC memfailkan satu laporan polis, menuduh berlakunya kecurian dokumen kewangan dari ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Soosay kemudian mendakwa dalam satu laporan polis bahawa Hammam telah menggelapkan hampir AS$10 juta (RM35.7 juta).

Ketika tiada bukti bahawa Soosay me­lakukan sebarang jenayah, dia dipercayai takut dipersalahkan kerana membenarkan pembayaran yang diarahkan oleh Hammam.

Velappan berkata, sampai masanya untuk AFC, yang kini dipimpin Shaikh Salman Ebrahim al Khalifa dari Bahrain, untuk menyiasat sepenuhnya keadaan itu dan tidak hanya menggunakan Soosay sebagai kambing hitam.

“Saya harap AFC akan mengendalikan satu siasatan yang benar-benar baik, profesional terhadap semua ini dan jika ada sesuatu (yang bertentangan) mengenai mana-mana pegawai atasan ini, justeru tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita perlu melindungi kejujuran, kita perlu melindungi pentadbiran baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Soosay yang pernah menjadi jurulatih Negeri Sembilan mempunyai beberapa perkara untuk dijelaskan.

“Dia perlu menjelaskan...jika anda tidak bersalah, anda tidak akan pergi kepada seseorang (pe­ngarah kewangan AFC) dan beritahu semua perkara ini,” kata Velappan.

Soosay telah menafikan dia me­lakukan sebarang kesalahan.

Dia mula menjadi Setiausaha Agung pada 2009, dua tahun sebelum khidmat sembilan tahun ahli perniagaan warga Qatar, Hammam sebagai presiden runtuh akibat tuduhan rasuah dan salah laku kewangan. – AGENSI