Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, pemberian itu berbeza dengan sebelum ini apabila atlet yang mewakili negara hanya diraikan dan diberi insentif selepas pulang membawa kejayaan.

"Kali ini kita beri dahulu untuk memberi mereka lebih semangat dan membuktikan betapa pengurusan UPM bangga kerana mereka terpilih ke sana," katanya selepas Majlis Meraikan Atlet UPM ke Sukan Komanwel, di sini hari ini.

Seramai 55 atlet daripada keseluruhan 178 atlet negara yang terpilih ke temasya kedua terbesar dunia itu yang akan membuka tirainya secara rasmi esok adalah atlet yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada jumlah itu, 27 atlet adalah atlet UPM yang akan beraksi dalam sukan hoki lelaki, menembak, olahraga, ragbi 7 sebelah, hoki wanita, terjun dan seorang lagi pegawai UPM, Muhammad Azwar Bakar turut bertanding dalam sukan ping pong para. - UTUSAN ONLINE