Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah tersebut diambil untuk mereali­sasikan misi sifar kes do­ping dalam kejohanan dwitahunan itu yang dikenali sebagai KL2017.

“Ini adalah satu langkah penting untuk kita jalankan program berte­rusan sama ada di bawah Adamas (Agensi Antido­ping Malaysia), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) agar mesej tersebut sampai kepada atlet menjelang KL2017.

“Selain daripada ujian doping secara rawak, sesi penerangan atau taklimat juga perlu dilaksanakan agar kesedaran mengenai doping dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar Program Keseda­ran Antidoping di Wisma MOM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata menerusi program kesedaran seumpama itu, atlet negara akan tahu mengenai hak mereka, undang-undang dan peraturan berhubung antidoping serta bahan yang terlarang.

“Kita tak nak suatu hari ini mereka mengatakan tiada sebarang usaha dari­pada pihak bertanggungjawab untuk memberikan maklumat berhubung isu doping,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin memberitahu jumlah sebenar anggota kontinjen negara untuk Sukan SEA bakal dimuktamadkan selewat-lewatnya Julai ini.

Tambahnya peluang untuk atlet di luar program Kita Juara berada dalam kontinjen negara juga masih terbuka jika mereka mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

“Kami akan mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemilihan Atlet pada Mac ini sebelum senarai akhir di­umumkan pada Julai, dengan anggaran lebih 900 anggota akan dipilih ke Sukan SEA.=