Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, menerusi fiesta itu, secara tidak langsung mendorong anak muda untuk melibatkan diri dalam sukan yang mereka minat.

"Program berunsur kesukanan bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda, malah dapat merapatkan hubungan antara pelajar selain bertukar pandangan.

"Kita berharap budaya sukan yang sihat ini bukan sahaja diterapkan di universiti bahkan dalam kehidupan seharian mereka," katanya ketika berucap dalam Malam Perasmian Fiesta Sukan Antarabangsa Ke-12 (UISF 2017) UiTM di sini malam ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said.

UISF 2017 yang berlangsung selama lima hari bermula semalam itu disertai sebanyak 31 universiti dari tujuh buah negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Singapura dan Thailand.

Kira-kira 950 atlet dan pegawai terlibat dalam UISF yang mempertandingkan lapan acara sukan iaitu futsal lelaki, futsal wanita, tenpin boling, ragbi, tenis, ping pong, badminton dan bola keranjang.

Dalam pada itu, Razali berkata, inisiatif UiTM dalam menganjurkan program kesukanan perlu dipuji kerana ia sebenarnya melambangkan kesatuan dalam kalangan pelajar.

"Komitmen yang ditunjukkan UiTM sejak 2006 penting dalam mempromosikan sukan universiti di  Malaysia dan juga peringkat antarabangsa," katanya. - UTUSAN ONLINE