Atlet terjun itu membuktikan kecemerlangannya di Sukan SEA Singapura dengan menyumbang empat pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal individu dan seirama serta 10m platform individu dan seirama.

Tze Liang berkata, dia sangat berpuas hati kerana usahanya selama tiga tahun untuk menerima anugerah itu akhirnya tercapai.

“Saya sangat gembira kerana selama tiga tahun dicalonkan untuk anugerah ini namun tidak berjaya walaupun dua penyertaan di Sukan SEA sebelum ini juga saya menyumbang emas.,” katanya selepas menerima anugerah yang disampaikan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar di sini, semalam.

Tze Liang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 untuk acara 3m papan anjal individu dan 10m platform individu.

Atlet memanah, Fatin Nurfatehah Mat Salleh pula muncul Olympian wanita, sekali gus memahat sejarah sebagai atlet compound pertama me­nerima anugerah itu.

Walaupun acaranya tidak dipertandingkan di Sukan ­Olimpik, Fatin berkata, anugerah b itu menaikkan semangatnya untuk meraih kejuaraan dunia tahun depan.

Fatin merupakan atlet wanita paling cemerlang di Sukan SEA Singapura dengan menyumbang tiga pingat emas bagi acara compound individu, berpasukan campuran dan berpasukan wanita.

“Tahun depan atlet memanah compound akan mendapat pendedahan penyertaan kejohanan antarabangsa sama seperti atlet memanah recurve, jadi kami akan menyertai lebih banyak pertandingan di luar negara,” katanya.

Pemenang masing-masing membawa pulang cek bernilai RM10,000 berserta pingat. – BERNAMA