Atlet kelahiran Langkawi berusia 16 tahun itu berkata, banyak perkara yang perlu diberikan pertimbangan sebelum menukar acara namun dia tetap berazam untuk beraksi di temasya sukan paling berprestij di dunia itu pada masa akan datang.

Muhammad Fauzi menjadi atlet termuda negara meraih pingat emas di Sukan Asia 2018 selepas muncul juara acara Laser Open 4.7 di Pusat Pelayaran Antarabangsa Indonesia dan menjadi watak penting dalam memastikan kontinjen Malaysia mencapai sasaran tujuh pingat emas di temasya itu.

“Acara saya tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, mungkin saya akan tukar kepada acara lain kerana saya mahu ke Sukan Olimpik.

“Selepas ini saya akan beraksi dalam Sukma (Sukan Malaysia) tetapi acara masih belum dipastikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam aksi di Sukan Asia 2018, Muhammad Fauzi mengumpul 20 mata selepas mengungguli perlumbaan sejak hari pertama untuk mengatasi Wang Jianxiong dari China yang meraih 42 mata manakala Harshitar Tomar dari India meraih gangsa dengan 62 mata.

Sebelum ke Sukan Asia 2018, dia turut menjadi penyumbang emas termuda pada temasya Sukan SEA Singapura pada 2015 menerusi acara Optmist.

Mengulas mengenai aksi di Sukma, dia masih belum dapat memastikan acara yang akan disertainya namun berharap dapat meneruskan kecemerlangan untuk terus meraih pingat emas.

Muhammad Fauzi menjadi antara sandaran Kedah untuk meraih pingat emas di Sukma bagi membantu mencapai sasaran 25 pingat emas di temasya dwitahunan itu.