Tiga pingat itu masing-ma­sing disumbangkan oleh Tan Yen Ming dalam kategori terbuka lelaki Heavy Weight, Audrey Nu Alexander Mula (wanita Welter Weight) dan Nurul Nur Hafizza Mahdi(wanita Heavy Weight), menjadikan kutipan pingat emas Sarawak dari acara taekwando berjumlah enam selepas memenangi tiga emas disiplin poomsee semalam.

Yen Ming meraih emas selepas menundukkan atlet Perlis, Ahmad Fahmy Al Haqim Harun 15-7 dan pingat gangsa dikongsi oleh Muhamad Syarifuddin dari Kedah dan peserta Perak, V. Vivegan.

Dalam pada itu, Nurul menewaskan atlet Wilayah Persekutuan, Nurul Nadhirah Norhisham 11-7 dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, peserta pilihan utama Audrey Nu berhempas pulas ketika berdepan dengan wakil Wilayah Persekutuan, L. Nerosha sebelum menang tipis 19-17 dalam perlawanan akhir.

Wilayah Persekutuan pula memperoleh dua pingat emas menerusi Amirul Danial Samsudin (lelaki Welter Weight) dan Nicole Lim Li Theng (wanita Middle Weight).

Amirul merangkul emas selepas menundukan peserta tuan rumah Mohd. Amirul Juwanda 19-6. Nicole pula cemerlang dalam kelas Middle Weight wanita, me­nundukkan atlet Sarawak, Caren Li 10-7.

Dalam pada itu, Terengganu merebut satu emas daripada enam emas yang dipertandingkan menerusi atlet pelapis negara Nur Putra Danial Azlan Noor Azlan yang menewaskan Muhammad Afnan Adnan dari Selangor 10-9 dalam pertarungan akhir Middle Weight Over. Pingat gangsa menjadi milik Perak dan Sarawak menerusi Kevin Nizam Uzair dan Eimran Ghaffary Daud.

“Alhamdullilah apa yang saya sasarkan berjaya dicapai dan saya hadiahkan kemenangan ini kepada ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan,” kata Nur Putra Danial.