Justeru, dengan mempertaruhkan Chong Xian Hao, 17 dan Yang Chen Yin, 26, pengurus skuad negara, Andy Yeo meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di kelompok pertengahan dalam kategori masing-masing iaitu lelaki dan wanita.

“Triathlon akan bermula sehari selepas hari pembukaan iaitu 5 April. Bagi saya sukar untuk menjangkakan mereka menang pingat sebab negara lain terutama tuan rumah Australia sudah berpengalaman selain New Zealand dan Kanada.

“Mereka pernah ada atlet triathlon berstatus juara dunia. Jadi kami sasarkan mereka dapat menamatkan saingan di kelompok pertengahan itu sudah bagus, atau pun mendapat kedudukan yang baik dalam negara Asia.

“Bagi saya, ini adalah pendedahan penting untuk mereka mengharungi kejohanan lain pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Andy berkata, Xian Hao baharu sahaja pulang daripada menjalani latihan intensif di venue temasya tersebut pada 23 Mac lalu, manakala Chen Yin sebaliknya.

“Chen Yin baharu sahaja mendapat kelulusan untuk layak ke Sukan Komanwel, jadi dia tidak sempat untuk menjalani latihan intensif di luar negara.

“Bagaimanapun, kami tidak perlu risau sebab dia seorang atlet yang bagus dan sentiasa menjaga stamina serta konsisten,” ujarnya.