Baru-baru ini, Traisy yang pernah menyertai Sukan Olimpik London 2012 berjaya meraih pingat gangsa dalam 10m platform wanita pada Terbuka Hong Kong.

Dia berharap kejayaan itu mampu membantunya dipilih mewakili negara apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan tersebut.

Bagaimanapun, Traisy mengakui, saingan kali ini amat sengit dengan keha­diran penerjun terbaik seperti Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee.

“Saya tidak meletakkan sasaran lagi untuk Sukan SEA kerana baru menyertai latihan.

“Saya hanya boleh berharap dapat melakukan yang terbaik untuk menyertai skuad Sukan SEA tetapi bagi acara platform wanita terlalu banyak persaingan seperti Dhabitah dan Mun Yee, jadi mungkin agak sukar,” katanya baru-baru ini.

Atlet berusia 22 tahun yang berasal dari Sarawak itu mengakui, kecederaan buku lali dan pergelangan tangan yang dialaminya sebelum Sukan Olimpik London menjadi punca kemerosotan prestasinya.

Selain itu dia juga sering berasa sakit di bahagian dada setiap kali ingin me­lakukan terjunan.

“Kecederaan itu memang ada di bahagian buku lali dan pergelangan tangan, jurulatih meminta saya untuk berehat dan mungkin itu (kecederaan) menjadi punca saya tidak banyak menghasilkan ke­putusan yang bagus.

“Saya juga ada rasa sa­kit di bahagian dada, tetapi pemeriksaan doktor tidak menunjukkan sebarang masalah yang serius,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan terjun negara, Siow Kian Wah memberi jaminan yang mereka akan membantu Traisy untuk kembali berada di prestasi terbaiknya.

“Bagi peluang kepada dia, memang ada ramai atlet platfrom namun se­narai masih belum diputuskan lagi, jadi peluang sentiasa terbuka,” kata Kian Wah.