TONY FERNANDES (kanan) berjenaka dengan Roberto Carlos semasa
TONY FERNANDES (kanan) berjenaka dengan Roberto Carlos semasa
menyampaikan cendermata sempena pelancaran Klinik Yayasan Real Madrid di Kolej Epsom, Nilai semalam.

Tony mengakui, kedua-dua ciri itu mengagumkannya walaupun banyak pihak beranggapan bahawa TMJ hanya kerap berjaya kerana mempunyai sumber kewangan besar yang banyak dilaburkannya dalam bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) miliknya.

“Apa yang saya boleh lihat ialah TMJ amat berminat de­ngan bola sepak. Jelas sekali beliau melaburkan banyak wang di JDT. Orang kata hanya duit ba­nyak yang mampu menjayakannya tetapi yang mengagumkan saya ialah cinta dan minatnya.

“Bola sepak Malaysia ini satu perkara yang besar dan penting (tetapi) sudah menderita sekian lama (jadi) ayuhlah kita berharap supaya banyak yang boleh ber­ubah (menerusi pemilihan dalam Kongres FAM Ke-53, 25 Mac ini).

“Siapa yang menang, saya ucapkan selamat berjaya,” kata­nya selepas pelancaran Program Klinik Yayasan Real Madrid di Kolej Epsom di sini hari ini yang turut dihadiri bekas bintang dan duta kelab gergasi Sepanyol kelahiran Brazil itu, Roberto Carlos.

Tony walau bagaimanapun tidak menjelaskan siapa calon pilihannya, antara TMJ atau yang akan menentangnya Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas kedua-dua nama itu diumumkan sebagai calon yang akan merebut kerusi panas No. 1 FAM semalam.

Sementara itu katanya, QPR mungkin merancang membuka laluan kepada pemain-pemain Malaysia yang berusia bawah 16 tahun untuk dihantar berguru dengan kelab-kelab Eropah yang mereka mempunyai hubungan kerjasama.

“Kita tahu England cukup tegas dengan permit kerja (pemain bola sepak) apatah lagi ranking pasukan kita (160 dunia) tetapi kami (menerusi QPR) mungkin boleh cuba bekerjasama dengan kelab liga bahagian dua Sepanyol atau Perancis untuk bawa pemain remaja kita,” katanya.

Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee kini berada di QPR selama sebulan sejak 7 Februari lalu hasil inisiatif Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia untuk menambah ilmu dan pengalaman kejurulatihannya bagi menghadapi Kelayakan Akhir Piala Asia 2019, bulan depan.

Mengenai Klinik Yayasan Real Madrid, Tony yang juga Pengerusi Gabenor Kolej Epsom di Malaysia, berkata, pihaknya teruja dan gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan kelab itu yang sejajar matlamat mereka membangunkan bola sepak belia dan akar umbi serta masyarakat tempatan.

Klinik berkenaan akan berlangsung bagi tempoh satu hingga dua minggu dari 23 Julai hingga 5 Ogos ini akan mendedahkan para pesertanya yang berumur 11 hingga 17 tahun dengan latihan bola sepak bertaraf dunia dan nilai-nilai positif serta cemerlang di dalam dan luar padang seperti hormat, kerjasama, rendah diri dan kepemimpinan.