Menurutnya, perkara utama yang mahu dilakukannya adalah menyemak akaun untuk mengetahui status kewangan FAM, selain mengurang pembaziran serta menukar falsafah permainan skuad kebangsaan serta meningkatkan imej bola sepak negara.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, beliau mahu mengurangkan pembaziran yang ada dalam FAM kerana tidak suka dengan amalan berkenaan.

"Antara langkah tersebut ialah mengurangkan tenaga kerja yang tidak efektif di persatuan itu sendiri.

"Saya memerlukan pekerja yang boleh memberi sumbangan dan mencadangkan idea-idea yang bernas kepada saya," katanya pada sidang media selepas Kongres FAM ke-53, di sini hari ini.

Pada masa sama, TMJ juga mahu meningkatkan kualiti pengadil dalam Liga Malaysia dengan mendapatkan bantuan serta pendedahan dari luar negara.

"Jika mahu meningkatkan mutu liga, kita bukan hanya memerlukan peningkatan teknologi tetapi juga perlukan kepakaran luar," katanya.

Kongres FAM hari ini membawa perubahan dengan majoriti muka baharu yang dipilih untuk meningkatkan imej bola sepak negara yang diketuai TMJ dan dua timbalannya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi. - BERNAMA