Ketiadaan O’Brien menambahkan kerisauan Ireland yang terpaksa melupakan khidmat kapten Paul O’Connell, Peter O’Mahony serta Jared Payne dalam mengharungi kempen seterusnya akibat kecederaan. Jonathan Sexton turut dilaporkan tidak dapat diturunkan dalam aksi suku akhir menentang Argentina akibat kecede­raan pangkal paha.

Pegawai perlawanan terlepas pandang tindakan O’Brien menghayunkan lengan­nya ke muka Pape pada 30 saat pertama permainan sewaktu Ireland me­numpaskan Perancis 24-9. O’Brien dijatuhkan hukuman pada Isnin dan dia akur dengan keputusan tersebut selang sehari kemudian.

Bagaimanapun dia boleh beraksi dalam separuh akhir seandainya Ireland menumpaskan Argentina di Stadium Millennium pada Ahad. Skuad The Puma kehilangan tonggak tengah Marcelo Bosch yang digantung perlawanan oleh Pegawai Undang-undang Jean-Noel Conraud dari Perancis selepas mengaku dia melakukan terjahan keras ke atas pemain Namibia, Theuns Kotze dalam perlawanan Kumpulan C pada minggu lalu.

Sementara itu Scotland, yang kehilangan khidmat Ford dan Gray yang tersingkir terus daripada kejohanan, sudah pasti menerima kesan dalam persediaan mereka menghadapi suku akhir selepas dijadualkan bertemu juara Piala Dunia dua kali iaitu Australia pada Ahad. – AGENSI