Sebaliknya Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dikatakan mempunyai pandangan berbeza mengenai kemampuan Ikram yang disifatkan memiliki lebih pengalaman dan pendedahan berlatih dan me­nyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Pengurus pasukan memanah negara, Shamsuddin Ibrahim ketika ditanya mengenai perte­ntangan pendapat tersebut mengesahkannya menyebabkan pihak pengurusan memanah kini dalam dilema dan memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan muktamad.

“Ketua Pengarah MSN menentang sekiranya pengurusan pasukan memanah Sukan SEA 2017 hendak menggugurkan Ikram. Jadi kami kena bincang semula hasrat untuk menggugurkannya demi mengambil pandangan semua pihak.

“Pandangan MSN juga ada benarnya atas alasan pengalaman Ikram lebih berharga berban­ding pemanah muda yang mahu menggantikannya yang jelas kurang pendedahan. Dari satu sudut lain, kami juga ada alasan tersendiri untuk dipertahankan.

“Jadi jalan terbaik, kami akan membincangkan semula perbezaan pendapat ini dengan lebih mendalam memandangkan keputusan untuk menggugurkan Ikram belum dimuktamadkan lagi. Jadi belum terlambat untuk mengkaji semula cadangan menggugurkan Ikram itu,” kata­nya ketika dihubungi hari ini.

Shamsuddin menambah, keputusan perlu dibuat segera memandangkan Jawatankuasa Pe­mili­han Sukan SEA yang dikendalikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah memberi tempoh akhir untuk menyerahkan senarai nama ter­akhir pemanah sebelum 20 Jun ini.

Pada 6 Jun lalu, skuad recurve Sukan SEA 2017 mengumumkan Ikram, yang berlatih di bawah Program Podium, mungkin digugurkan jika gagal memulihkan prestasi­nya yang tidak konsisten kebelakangan ini.

Kedudukan Ikram kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang dicatatkannya dalam Piala Dunia di Turki pada 6-16 Jun lalu.

Sebaliknya sebagai pengganti, skuad recurve berhasrat membawa masuk Mohd. Zharif Syahir dari pasukan pelapis kebangsaan yang kebelaka­ngan ini mempamerkan prestasi konsisten sejak meraih emas individu dan berpasukan recurve serta campuran dalam Kejohanan Asia Tenggara di Yangoon, Myanmar pada Februari lalu.

59